BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday 20 April 2016

Jamal Abdillah.. politik bukan pilihan terbaik untuknya


KUALA LUMPUR
Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 57, berkata beliau tidak akan menolak peluang untuk menjadi calon bertanding semasa pilihan raya, jika diberi peluang.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau tidak ada kecenderungan ke arah menceburi bidang politik.

"Itu terpulang kepada kepimpinan kita, kalau kepimpinan politik kita rasa itu yang terbaik, rasanya tak mustahil. Saya suka mengikuti perkembangan politik semasa," katanya kepada Bernama TV selepas menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara melalui saluran Astro 502 di sini.

"...Saya suka baca isu politik tapi saya bagi komen dari segi kemanusiaanlah, kadang-kadang dalam itu suka bertengkar, suka tuding jari pada yang lain, kita daripada bidang yang lain, kita melihatkan diri kita ini seperti manusia biasa," katanya.

Turut serta dalam program itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Azman Ujang bersama pengacara ialah Datuk Dahlan Maamor.

Menyentuh penglibatannya semasa pilihan raya negeri Sarawak, Jamal berkata beliau terlibat dalam persembahan pentas sepanjang kempen pilihan raya di beberapa lokasi, antaranya di Limbang, Lawas dan Kuching.

Tambahnya beliau juga akan menyampaikan beberapa buah lagu dalam bahasa Iban untuk memenuhi permintaan penduduk di kawasan tertentu.

"Saya nyanyi lagu dalam bahasa Iban sekali sebab di sana ramai orang Iban jadi saya cuba penuhi permintaan mereka di sana," katanya.

Ditanya mengenai artis tempatan yang beliau kagumi, Jamal menyenaraikan Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah, kerana menurutnya, mereka telah berjaya menonjolkan lagu masing-masing ke peringkat antarabangsa.

Jamal juga berkata walaupun bertuah kerana dianugerahi bakat dan suara yang menjadikan beliau diminati ramai, pengetahuan mengenai penjagaan suara dan imej adalah penting dalam kerjaya beliau.
Mengulas lanjut mengenai anaknya, Osama Yamani, 15, yang semakin mengikuti jejak langkahnya dalam bidang seni, Jamal berkata beliau tidak mengesan bakat anaknya itu sehinggalah beliau melihat video yang dimuat naik oleh sekolah anaknya di YouTube.

"Saya nampak dia meminati bapanya sampai dia ikut semua cara menyanyi. Dia main alat muzik di sekolah seni yang dia belajar sekarang di Johor Baharu. Tapi saya tetap nasihatkan pentingkan pelajaran selain muzik.

"Memang saya nampak banyak perubahan, dia dah boleh baca skor, main instrumen, tapi saya tetap ingatkan kemahiran penting, jadi cari kemahiran di samping akademik yang jitu," katanya yang pernah berlakon enam filem sepanjang kerjaya seni seperti 'Azura' dan 'Ghazal untuk Rabiah'.

petikan dari: Bernama April 14, 2016 00:23 MYT

No comments: