BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Thursday 17 March 2016

BENARKAH BURUNG CENDERAWASIH BURUNG KAYANGAN DARI SYURGA?



Hikayat burung cenderawasih:-
Dalam Kitab Tajul Muluk, ada mengisahkan tentang seekor burung yang bergelar burung cenderawasih. Dikatakan asal usul burung ini  bermula dari kayangan. Menurut kebanyakan orang lama yang arif tentang burung ini mengatakan burung ini berasal dari syurga dan burung ini selalunya  berdamping dengan para wali.

Burung cenderawasih memiliki warna bulu di kepala kuning keemasan. Terdapat empat sayap yang tiada tandingnya. Sesuatu yang sangat nyata perbezaannya adalah dua antena atau ekor 'areil' yang panjang di ekor belakang. Sesiapa yang melihatnya sudah pastilah terpegun dan takjub akan keindahan dan kepelikan burung cenderawasih ini.


Jarang sekali orang memiliki burung cenderawasih, kerana burung ini bukanlah berasal dari bumi ini. Umum mengetahui bahawa burung Cenderawasih ini hanya dimiliki oleh kaum kerabat istana sahaja. Mengikut sejarah, kebanyakan kerabat-kerabat istana Melayu mempunyai burung cenderawasih. Di utara semenanjung Malaysia, yang paling ketara sekali ialah Negeri Kedah. Kebanyakan kedai-kedai di seluruh negeri Kedah sama ada milik orang Melayu, China dan India mempunyai gambar Sultan Abdul Hamid. Sekira diperhatikan betul-betul pada gambar itu terdapat bulu burung cenderawasih di tengkolok baginda. Keseluruhan peniaga yang ditemui mengatakan ia membawa tuah yang hebat.


Syahdan dinyatakan lagi dalam beberapa kitab Melayu lama, sekiranya burung cenderawasih turun ke bumi nescaya akan berakhirlah hayatnya. Dalam kata lain burung cenderawasih akan mati sekiranya menjejak kaki ke bumi. Namun yang pelik lagi ajaibnya, burung cenderawasih ini tidak reput seperti bangkai binatang yang lain. Ini kerana ia dikatakan hanya makan embun syurga sebagai makanannya. Malahan ia mengeluarkan bau atau wangian yang sukar untuk diperkatakan. Burung cenderawasih mati dalam pelbagai keadaan. Ada yang mati dalam keadaan terbang, ada yang mati dalam keadaan istirahat dan ada yang mati dalam keadaan tidur.

Walau bagaimanapun, Melayu Antique telah menjalankan kajian secara rapi untuk menerima hakikat sebenar mengenai BURUNG CENDERAWASIH ini. Mengikut kajian saintifik yang dijalankan, burung ini lebih terkenal dikalangan penduduk nusantara dengan panggilan Burung Cenderawasih. Bagi kalangan masyarakat China pula, burung ini dipanggil sebagai Burung Phoenix yang banyak dikaitkan dengan kalangan kerabat istana Maharaja China. Bagi kalangan penduduk Eropah, burung ini lebih terkenal dengan panggilan 'Bird of Paradise'. Secara faktanya, asal usul burung ini gagal ditemui atau dikesan sehingga sekarang. Tiada bukti yang menunjukkan ianya berasal dari alam nyata ini. Namun satu lagi fakta yang perlu diterima, burung cenderawasih turun ke bumi hanya di IRIAN JAYA, Indonesia sahaja. Tetapi yang pelik namun satu kebenaran burung ini hanya turun seekor sahaja dalam tempoh tujuh tahun. Dan ianya turun untuk mati. Sesiapa yang menjumpainya adalah satu tuah. Oleh itu, kebanyakan burung cenderawasih yang anda saksikan mungkin berumur lebih dari 10 tahun, 100 tahun atau sebagainya. Kebanyakkannya sudah beberapa generasi yang mewarisi burung ini.

Telah dinyatakan dalam kitab Tajul Muluk bahawa burung cenderawasih mempunyai pelbagai kelebihan. Seluruh badannya daripada dalam isi perut sehinggalah bulunya mempunyai khasiat yang misteri. Kebanyakannya digunakan untuk perubatan. Namun ramai yang memburunya kerana 'tuahnya'. Burung cenderawasih digunakan sebagai 'pelaris'. Samaada pelaris diri atau perniagaan. Sekiranya seseorang memiliki bulu burung cenderawasih sahaja pun sudah cukup untuk dijadikan sebagai pelaris. Mengikut ramai orang yang ditemui memakainya sebagai pelaris menyatakan, bulu burung cenderawasih ini merupakan pelaris yang paling besar. Hanya orang yang memilikinya yang tahu akan kelebihannya ini.

Rujukan dari petikan oleh:



Guests

No comments: