BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Sunday 25 March 2012

Mengapa Dia Bukan Jodohmu

 Mengapa Dia Bukan Jodohmu


 Kamu kerap mengeluh kerana sering gagal dalam percintaan. Bukan sekali dua, tetapi hampir semua hubungan menemui jalan buntu. Setiap kali memiliki cinta baru, harapan tinggi menggunung mahu kekal bersama si dia. Sayangnya kecundang lagi hinggakan kamu hampir putus asa.

Cemburu juga melihat teman-teman sebaya memiliki cinta sejati. Hubungan mereka pula bertahan lama, sedangkan kamu hanya mengecapnya beberapa ketika. Naik segan pun ada kerana setiap kali itu kamu perlu memperkenalkan kekasih baru.

Lalu jiwa jadi semakin kacau kerana memikirkan nasib diri. Bilakah keadaan ini akan berakhir? Tetapi jika dilihat dari sudut positif, pasti kamu panjang pendek mengucap syukur kerana dijauhkan berjodoh dengan mereka.

Kamu hanya perlu mengkaji lebih dalam apakah musibah melanda jika diteruskan hubungan dengan setiap seorang. Apatah lagi jika sudah terikat sebagai suami isteri. Dari perlakuan, fiil dan rutin mereka juga sudah jelas menggambarkan sifat sebenar masing-masing.

Hari ini kamu berasa sukar setiap kali mengenangkan nasib diri. Pernahkah kamu membayangkan keadaan lima atau enam tahun ke depan? Percayalah, kamu sepatutnya bersyukur kerana tidak dijodohkan dengan pasangan seperti itu.

Beberapa situasi berikut mungkin mampu mengubah persepsi kamu. Pasti tiada lagi awan duka membendung perasaanmu selepas ini. Percayalah setiap kejadian pastinya direncanakan Tuhan demi kebaikanmu.

Kekasih 1
Dia kekasih pertama kamu cinta. Mungkin kerana terlalu menunjukkan sayang, lalu kamu sering dibulinya. Kehadiran kamu tidak penting mana. Dia endah tak endah sahaja terhadapmu. Rekod peribadinya tidaklah baik pun. Dia suka berpeleseran, mata keranjang, perokok, kaki botol dan sebagainya.

Kerana lembut hati, kamu telan segala. Kamu anggap dia bakal berubah selepas berumah tangga. Beberapa kali juga kalian putus dan sambung kembali. Telah dicuba melupakan tetapi setiap kali itu dia kembali merayu dan kamu pasti jadi cair. Akhirnya kamu ditinggalkan menangis tak berlagu.

Tetapi percayalah, kamu sebenarnya tak rugi apa-apa. Bekas kekasih kamu itu dikhabarkan setia dengan pasangannya. Tetapi kamu pernah terserempak dia masih berfoya-foya di kelab. Kerenahnya sama sahaja seperti dahulu. Percayalah dia takkan pernah berubah.

Lelaki atau wanita seperti ini akan datang pun tak mungkin menukar tingkah lakunya. Selepas berkahwin pun pasti ditinggalkan pasangan di rumah dengan anak. Sedangkan dia keluar berfoya-foya dengan teman-teman. Tidak rugi kamu tidak memiliki pasangan seperti itu bukan?

Kekasih 2
Orang kata hubungan bermula sebagai kawan lebih kekal lama. Kamu pun mula menjalinkan hubungan intim dengan sahabat lama. Kala itu kamu anggap takdir Ilahi. Mungkin inilah sebenarnya jodoh daripada Tuhan.

Begitupun hatimu jadi sebal. Si dia ada kalanya sangat mengambil berat, ada harinya pula kamu seolah-olah tidak wujud di depan matanya. Beberapa bulan berselang, hubungan jadi semakin parah kerana mengetahui dia juga berpeleseran dengan orang lain. Bukan seorang tetapi beberapa orang.

Rupa-rupanya kamu juga sekadar salah seorang daripada mereka yang dipermainkan. Sebetulnya, dia sudah punya calon dan bakal berkahwin. Kamu sekadar mainannya saat-saat akhir bergelar bujangga. Mungkin juga memang sikapnya begitu. Kamu terlepas pandang walaupun sudah mengenalinya sebagai sahabat.

Karakter lelaki atau wanita begini selalunya menyumbang kearah kecurangan walaupun selepas berkahwin. Kalau lelaki, mereka bakal menduakan isteri dan berkahwin lain. Bagi wanita, mereka mengikut jalan belakang, main cinta sembunyi-sembunyi. Bersyukurlah kamu tidak kekal lama dengan pasangan seperti ini.

Kekasih 3
Awal-awal sudah mata duitan. Mula meminta wang untuk perbelanjaan tambahan diri sendiri. Hati sudah berdetik tidak senang tetapi kerana kasih diikutkan saja permintaannya. Lagipun takkan nak berkira dengan kekasih sendiri. Fikirmu, dia kan bakal calon. Pasti susah senang perlu dilalui bersama-sama.

Akhirnya dia berterus-terang bakal memilih pasangan lebih berharta. Malah, dia menyuruh pasangannya itu menghubungi kamu. Oh, mereka riak saat ini tetapi percayalah, kamu tak rugi apa-apa. Dia bangga punya kekasih baru lebih berada, tetapi sejauh mana pasangannya itu mahu menampung kehidupannya?

Kalau wanita bersikap pisau cukur, alamat tidak lamalah kebahagiaan dikecap. Lelaki berharta semestinya berdahi licin akan bertemu gadis lain. Bagi lelaki pula, hanya wanita bodoh sahaja hendak menanggung perbelanjaan lelaki itu. Suatu hari kelak, sang wanita pasti akan berasa tertindas oleh lelaki dayus tidak bertanggungjawab itu.

Lelaki atau wanita kalau sudah biasa bergantung wang dengan orang, pasti takkan mampu mengubah dirinya. Sudahnya, mati kering kamu hendak mencari wang demi menampung berbelanjaan dia. Kamu pula sepatutnya bersyukur kerana terlepas dari cengkaman pasangan begitu. Berbahagialah!

Kekasih 4
Isunya apabila si dia enggan bertemu keluarga kamu. Padahal bukannya kamu hendak memaksa dia lekas-lekas berkahwin. Kamu sedia memaklumkan kepadanya, memang sebelum-sebelum ini setiap kenalan kamu pasti akan bertandang ke rumah.

Alasan diberinya, jikalau melibatkan orang tua pasti kena cepat kahwin. Jadi, nampak sangat dia tidak serius denganmu. Mulalah dia mencari silap kamu, katanya setiap perbualan hanya mengenai dirimu sahaja. Oh, sekarang kamu pula dituduh mementingkan diri sendiri.

Usahlah berduka lara demi lelaki atau wanita seperti ini. Mereka seperti ini pada masa akan datang akan bersikap lepas tangan dengan keluargamu. Orang kata, ibu dan bapa kamu tak boleh tumpang senang dengan dia. Kalau ibu atau bapa kamu sakit deman, dia takkan peduli hendak pulang ke kampung.

Padahal dia juga bakal tua suatu masa kelak. Anak-anak akan melihat contoh daripada diri kita. Apa juga diperlakukan kepada keluargamu, tidak mustahil bakal terjadi pada dirinya. Belum tentu menantu kamu seorang berbudi. Pendek kata, karma pasti akan terpalit kembali pada dirinya.

Benar, kamu perlu memilih kekasih hati dengan memandang ke depan. Hubungan berlangsung hari ini bukan sekadar untuk waktu terdekat sahaja. Perhatikan sifat si dia dan cuba tanyakan dalam diri, apakah pilihan kamu pada masa hadapan akan bersifat adil dengan diri kamu. Kata hati pasti benar jikalau sudah ada titik rasa tidak senang dengan fiilnya.


sumber: http://www.gua.com.my/cinta/index.1.html

No comments: