BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday 13 April 2011

Bab16 : Pasrah

 Photobucket
AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu


BAB 16

Pasrah

SETAHUN masa berlalu begitu pantas, bagaikan baru semalam peristiwa pahit yang menimpa Hafis masih dapat dirasakannya. Air mata sudah tiada erti lagi buat Hafis. Kerinduan dan kesepian sering melanda perasaannya. Hancur luluh perasaannya, hanya dia saja yang dapat merasakan. Umpama kata perpatah, berat mata memandang, berat lagi bahu Hafis yang memikulnya.
    Sekalipun tidak terdaya Hafis menanggung penderitaan hatinya, namun dia tetap pasrah dengan kehendak Ilahi. Tidak ada sesiapa pun yang mampu menghalang takdir dan kerja Allah jika itu yang dia mahu. Memang sukar untuk Hafis  menerima hakikat kehilangan orang yang amat disayangi.
    Segala yang dirancang setahun yang lalu hanya tinggal memori. Memori luka yang menamatkan segala kenangan manis. Lantaran kedukaan yang amat sangat, Hafis sudah hilang kepercayaan terhadap dirinya. Adakalanya dia bercakap sendirian, macam orang tidak siuman. Sudah berkali-kali ibunya memujuk, nasihat dan telah bermacam-macam cara ibunya cuba mencari jalan agar semangat Hafis pulih seperti biasa, namun semuanya masih tidak berhasil. Hafis tidak seperti Hafis yang dulu. Dirinya langsung tidak berterusan. Rambut yang kusut masai, misai dan jangut  panjang lintang pukang tidak bercukur. Pakaiannya pun tidak pernah yang sempurna.
    Mandinya pun tidak menentu, makan minumnya pun tidak terjaga, tidurnya saban malam tidak lena dan adakalanya dia menangis teresak-esak, menjerit, merintih pilu. Sedih benar ibu Hafis melihat sikap Hafis yang berubah sejak tragedi pilu itu.
    “Mengapalah bukan aku!!! Mengapa!!! Mengapa dia yang kau ambil nyawanya!!! Ini semua salah aku. Aku yang bersalah....” Rintih pilu Hafis, menjerit tidak menentu.
    “Hafis, sabarlah nak, Semua ini sudah takdir. Kita perlu terima dengan tenang hati. Tidak siapa yang mahu semua ini berlaku.” Pujuk ibunya.
    “Tidak! Semua ini tak akan berlaku kalau tidak kerana Hafis. Hafis yang salah. Hafis yang patut menerima hukuman, bukan dia.” Teresak-esak tangisan Hafis. Puas sudah ibunya memujuk, Namun masih tidak berhasil.
    Sejak peristiwa itu, Salihah sering berkunjung ke rumah Hafis. Adakalanya berhari-hari dia menemai Hafis. Salihah turut memujuk dan menasihati Hafis. Masih belum ada perubahan terhadap diri Hafis sekalipun Salihah mendampinginya.
    “Abang, dah setahun Leya pergi bang. Selama itu Abang tak pernah berubah fikiran. sekalipun abang sayang sangat dengan Leya, abang perlu fikirkan masa depan abang. Abang tahu tak betapa kecewanya roh arwah Leya bila tengok abang macam ni.” Pujuk Salihah.
    “Aku bersalah Sal, aku yang bersalah. Kalau tak kerana aku, mungkin Leya tak mati.” Ujar Hafis benar-benar kecewa.
    “Abang, semuanya kehendak Ilahi. Dia lebih sayang dari kita semua. Kalau abang sayangkan Leya, abang kena jaga diri abang elok-elok. Bukan macam ni. Sal tengok abang dah tak ada arah tujuan lagi. Hidup ni kena teruskan juga bang.”
    “Kau tak mengerti Sal. Kau tak akan faham perasaan abang Sal.”
    “Abang, Sal mengerti, Sal faham perasaan abang. Sebab tu Sal selalu bersama abang. Setidak-tidaknya abang dapat luangkan masa, lepaskan segala bebanan perasaan Abang. Anggaplah Sal ini tempat abang mengadu kesediahan abang tu.”
    Setahun lalu, seminggu sebelum Hafis dan Leya diijab kabulkan, ketika pulang dari bandar membeli belah untuk persiapan perkahwinan, motorsikal yang ditunggang oleh Hafis dan Leya telah dilanggar sebuah lori tanah. Hafis terhumban ke tepi jalan, Leya pula tersepit dibawah lori. Leya cedera parah. Disebabkan bahagian kepala Leya pecah, Leya tidak dapat diselamatkan lagi. Hafis hanya cedera ringan, kaki kirinya patah tapi dapat dipulihkan. Hampir seminggu Hafis terlantar dihospital, antara sedar dan tidak selepas kemalangan itu.
    Segalanya hancur musnah. Impian untuk hidup bersama sudah berkecai. Malang menimpa terlalu cepat tanpa sedikitpun rasa kesian. Tapi ini semua adalah suratan. Takdir penentu segalanya. Kematian tidak dapat dielakkan. Sejak itulah Hafis sudah seperti orang gila. Saban hari merintih pilu di pusara Leya.
    “Leya! Maafkan abang sayang. Abang yang bersalah. Abang yang salah Leya.” Teresak-esak Hafis menitiskan airmatanya ketika dipusara Leya.
    Sudah setahun Leya bersemadi, selama itulah saban hari Hafis  akan ke pusara arwah Leya. Tidak kira hujan, panas. Celik mata saja, Hafis akan terus ke pusara Leya.
    Hari-hari pilu terus berlalu meninggalkan Hafis dalam keadaan dirinya yang terasing dari insan lain. Namun Salihah sajalah yang sentiasa menemani Hafis kalau ke pusara Leya. Kadang kala, kalau Salihah terlewat ke rumah Hafis, Salihah akan terus ke pusara Leya. Salihah tahu yang Hafis tidak akan kemana lagi kalau tidak ke pusara Leya.
    Pagi itu, perubahan amat ketara pada diri Hafis. Hafis bingkas bangun dan terus mencapai tuala, kemudian ke bilik air, mandi dan mengambil wuduk. Kemudian dia mengenakan pakaian yang agak terurus.Berkopiah.Langkah Hafis subuh itu gayanya hendak ke surau, menunaikan solat.Tidak seperti selalu,dua perkara ini langsung diabaikanya. Selepas solat subuh,tanpa memperdulikan sarapan pagi, Hafis mengatur langkahnya ke tanah perkuburan,tidak lain hanyalah bertujuan ke pusara Leya. Kalau dulu ketika dipusara Leya, Hafis hanya meratap hiba, kali ini dia sudah jauh berubah. Hafis sudah mula ingat untuk membaca beberapa surah ayat suci Al-Quran dan mendoakan  roh arwah Leya.
    “Ya Allah, ya Tuhanku, kau ampunkanlah roh arwah Leya tunangku. Kau letakanlah Leya dalam kalangan orang yang kau kasihi. Terimalah kekasih hatiku ini di sisi-Mu Allah. Janganlah kau azabkan rohnya.” Hafis menadah tangan ke langit berdoa. Hanya air matanya saja menemaninya ketika itu.
    “Leya, abang sayang Leya. Abang tetap setia dengan janji kita sayang.” Rintih Hafis pilu.
    Dua minggu lalu Hafis bermimpi didatangi oleh bayang Leya. Dalam mimpinya itu, Leya tersenyum manja. Leya turut berpesan kepada Hafis.
    “Abang, kalau abang sayangkan Leya, abang jangan macam ni. Abang kena berubah. Abang kena sihatkan badan. Abang jaga diri abang baik-baik. Leya tak nak tengok abang bersedih. Kalau abang tak mahu Leya bersedih, abang mesti janji tau. Abang mesti berubah. Abang mesti macam dulu. Segak dan bina masa depan. Sekalipun bukan dengan Leya, abang perlu cari pengganti yang baru. Leya sayang dan cintakan abang. Cuma Leya tidak mungkin dapat bersama abang.” Itulah kata-kata Leya dalam mimpi Hafis.
    “Leya!!!” Hafis terjaga dari tidurnya.Sejak bermimpi bertemu Leya, Hafis sudah mula berubah. Dia tidak lagi seperti selalu. Janggut dan misai sudah bercukur. Walaupun rambutnya panjang namun dia  sudah bersikat kemas. Pakaiannya sudah mula terurus dan dia sudah mula hendak makan dan tak lupa untuk bersolat.
    Pohon Seroja yang tumbuh bertaup ditanah pusara sudah mula berkembang ketika mentari menyinar lagi. Begitulah setiap hari rutin kehidupan pohon Seroja. Siangnya berkembang hinggalah ke larut malam, segar mewangi ketika dihembus sang bayu. Layunya tidak terkulai, sekalipun jatuh ke bumi,kuntumnya masih segar mewangi. Hafis masih lagi bertafakur di pusara Leya. Berat sungguh kakinya untuk meninggalkan pusara Leya.
    Selepas ke pusara Leya pagi itu, Hafis terus saja ke hilir sungai. Selama setahun, tidak pernah dia terfikir untuk ke hilir sungai tempat dimana dia dan Leya sering bermadu kasih. Di situlah mulanya cinta antara Hafis dan Leya berputik. Kasih sayang dipupuk dengan ikhlas dan jujur.
    Air sungai yang mengalir bagaikan mengerti apa yang terbuku dihati Hafis. Riak air yang mengalir itu berdesir lembut. Sang bayu pula berhembus lembut membelai dedaun pohon dan sesekali desir daun yang bergesel sesama sendiri ketika dihembus  sang bayu seperti sedang mendendangkan lagu-lagu cinta alam semestar. Sang unggas berterbangan, berkicau riang, melonjak ke sana kemari mencari rezeki. Kicauannya merdu bagaikan memuji keindahan dunia ciptaan Ilahi.
    Hafis duduk di banir pohon Meranti yang tinggi menjulang seolah-olah ingin mencapai awan. Menungannya jauh melayang mengingati kembali saat-saat manis ketika bersama Leya. Dia tersenyum sendirian. Ketika itu dia seolah-olah sedang ditemani oleh Leya. Bayangan Leya memeluk erat bahu Hafis, mesra manja masih dapat dirasakannya. Namun semua itu hanya tinggal kenangan. Kenangan yang tidak mungkin dapat dilalui semula.
    “Abang.”
    “Ya sayang.”
    “Kalau Leya mati dulu, macam mana?”
    “Abang pasti rindu.”
    “Rindu saja?”
    “Abang tetap setia dan sayangkan Leya.”
    “Abang tak nak cari pengganti?”
    “Tak mungkin...”
    “Sebab?”
    “Sebabnya, hanya Leya saja yang ada dalam hati dan jiwa abang.”
    “Mana boleh macam tu bang, yang mati tak akan hidup kembali. Yang hidup perlu meneruskan kehidupannya.”
    “Tak mungkin Leya... Tak mungkin.”
    “Abang kena teruskan hidup abang kalau abang sayangkan Leya.”
    “Okey! Kalau abang mati dulu?”
    “Leya tetap sayang dan rindukan abang. Tapi Leya perlu teruskan hidup ini.”
    “Leya cari pengganti abang?”
    “Mungkin... Tapi tidaklah cepat sangat.”
    “Maknanya Leya tak sayangkan abanglah?”
    “Bukan macam tulah bang. Kalau Abang masih hidup, sudah tentu abang dapat jaga Leya. Bila abang dah tak ada, siapa yang nak jaga Leya. Leya perempuan bang. Macam manapun cinta dan sayang Leya tetap utuh pada abang.”   
    “Bagaimana cinta dengan yang baru?”
    “Semua itu boleh dibina demi kehidupan.”
    Masih terngiang-ngiang setiap perbualan Hafis dan Leya kali terakhir mereka bersama disitu. Hafis dan Leya ke situ setahun yang lalu, dua hari sebelum berlakunya kemalangan ngeri. Tidak pernah Hafis terfikir segala perbualan itu kini menjadi realiti. Barulah Hafis sedar tentang hakikat kehidupan. Sejak Hafis bermimpi bertemu Leya, Hafis dapat merasakan betapa cinta Leya padanya masih hangat membara dan betapa Leya jujur dalam percintaannya.
    “Abang! Kat sini rupanya abang. Penat Sal cari abang kat tanah perkuburan tadi.” Khayalan Hafis terhenti, tersentak bila ditegur oleh Salihah. Bersungguh-sungguh Salihah ingin mendampingi Hafis dan ingin mengubati segala kedukaan hati Hafis.
    “Sal, abang rindukan tempat ini. Abang rindukan kedamaian jiwa. Abang rindukan Leya.” Menitis air mata Hafis ketika itu. Sayu benar hatinya.
    Salihah menghampiri Hafis, duduk disisi Hafis.
    “Sal faham bang. Sal dapat rasakan kehilangan Leya, dia sahabat Sal. Dia kekasih abang, tunang abang, dan kalau Sal di tempat abang pun, Sal mungkin macam abang.”
    “Sukar untuk abang melupakan peristiwa pahit itu Sal.”
    “Abang, semuanya dah berlalu. Sal tengok abang pun dah ada sedikit perubahan. Syukurlah, kalau abang mahu meneruskan kehidupan ini semula.”
    “Abang bermimpikan Leya datang.”
    “Leya datang dalam mimpi abang?” Hafis mengangguk tanda benar.
    “Apa yang Leya cakap dengan abang?”
    Hafis terdiam sejenak. Renungan matanya memandang jauh ke air sungai yang mengalir. Terbayang ketika itu raut wajah Leya. Hafis mengelamun.
    “Abang, Leya ada kata apa-apa tak?”
    Tersentak lamunan Hafis sekali lagi bila Salihah bertanya.
    “O... Leya mahukan abang berubah seperti dulu.” Beritahu Hafis.
    “Baguslah tu. Betul tak kata Sal, Leya tak mahu abang bersedih. Roh Leya akan damai tenteram bila tengok abang tak lagi  bersedih, berduka dan bila abang mahu mulakan hidup baru abang.” Ujar Salihah,cuba menyuntik semangat baru pada Hafis.
    Hafis memandang tepat ke wajah Salihah. Salihah tunduk malu. Kemudian Salihah memandang semula ke wajah Hafis. Hafis masih memandangnya tanpa berkelip.
    “Kenapa abang pandang Sal macam tu? Takut Sal tau.”
    Hafis tersenyum.
    “Sal takut abang ni gila dan bunuh Sal?”
    “Taklah, takut... takut tersusuk duri dalam hati, lantas hempedunya pecah. Pahit juga yang terasa.” Ujar Salihah melirik manja, melemparkan pandangan jauh ke tengah sungai mentiti arus air yang mengalir sedikit deras sekalipun air di sungai ketika itu cetek.
    Hafis tersenyum. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh Salihah. Salihah masih Salihah yang dulu. Masih mengharapkan berputiknya kembali cinta Hafis terhadapnya.
    “Pecah hempedu, pahit dapat diluahkan. Hancurnya perasaan hilangnya impian sukar untuk diubat.” Balas Hafis.
    “Memanglah, hempedu pahit, namun kepahitan hempedu boleh dijadikan penawar segala kesakitan. Pahitnya hati ketika terluka tak sama pahitnya hempedu.” Ujar Salihah.
    “Entahlah Sal. Apalah daya kita untuk menghalang  takdir.” Ujar Hafis, termenung jauh.
    Mungkin nasib Hafis tidak sama dengan nasib yang  menimpa Salihah. Setahun yang lalu juga, Salihah telah melalui kepahitan hidup akibat kesilapannya sendiri. Namun dia akur dengan apa yang dia terima. Tidak pernah terfikir olehnya Salih yang dilihat baik hati, jujur dan disangkakan Salih tempat untuknya bergantung kasih akhirnya meninggalkan Salihah dengan alasan begitu mudah.
    Kali terakhir selepas Salihah menulis surat pada Salih, Salih hanya memberitahu Salihah yang dia boleh menerima Salihah sebagai isteri sekalipun Salihah sudah tidak suci lagi. Cuma ibunya saja yang tak dapat menerima Salihah sebagai menantu.
    Sedih sangat hati Salihah bila dia mendapat tahu segala rahsia hidupnya yang diceritakan pada Salih, akhirnya terbongkar hingga ke telinga keluarga Salihah sendiri. Kesal benar dia dengan sikap Salih yang tidak jujur dan amanah dalam memegang janji. Padanya, sekalipun Salih tidak dapat menerimanya sebagai teman hidup, memadailah dengan berterus terang dan bukannya membuka pekungnya itu bercerita kepada ibu bapa Salih. Tidak sepatutnya Keluarga Salih tahu segalanya.
    Sejak peristiwa itu, ramai penduduk kampung yang memandang sinis terhadapnya. Semuanya angkara mulut keluarga Salih yang menggembar-gemburkan kisah hidup Salihah kepada orang kampung. Sindiran  dan cemuhan sudah jadi darah daging hidup Salihah setiap kali berhadapan dengan masyarakat.
    Salihah sudah tak ada tempat mengadu nasib lagi. Keluarganya sentiasa memandang serong terhadap dirinya.
    “Sal, tak pernah ayah fikir yang kau sanggup jadi jahat macam tu. Kau ni memang anak yang tak berguna. Aku ajar kau ilmu agama, tapi kau abaikan, kau buat kerja maksiat.” Herdik Wak Johar, ayah Salihah.
    “Emak tak sangka Sal sanggup menconteng arang ke muka mak macam ni. Sampai hati kau Sal.” Begitu juga dengan ibu Salihah, kesal benar dia dengan sikap buruk Salihah.
    “Mak, abah, orang kata kakak Sal jadi pelacur kat Kuala Lumpur. Betul ke?” Adiknya sendiri pernah mendengar orang kampung menghinanya.
    Sedih benar Salihah dengan nasib yang menimpa dirinya. Dia tak tahu hendak kemana, mengadu nasib.  Apa yang dia ada cuma Hafis. Hafis sajalah yang faham dengan nasibnya.
    “Sudahlah Sal, lupakan semua itu. Anggap sajalah ianya suratan takdir dan bukan satu hinaan.” Nasihat Hafis pada Salihah ketika Salihah menceritakan perkara sebenar apa yang berlaku terhadap dirinya.
    “Entahlah bang, siapalah saya untuk memulihkan semula kepercayaan orang kampung. Tambah lagi emak dan ayah Sal.” Keluh Salihah sedih. Hari-hari yang berlalu sejak setahun lalu, ada saja yang terpaksa Salihah hadapi. Pernah satu ketika ada lelaki, orang kampungnya yang hendak mengambil kesempatan terhadap diri. Mujurlah dia diselamatkan oleh Wak Kamal.
    Peristiwa demi peristiwa pahit terus dilaluinya tanpa sebarang alasan untuk dia mengelak lagi. Inilah dugaan dari Tuhan, atau inilah juga pembalasan dari Tuhan pada dirinya. Salihah tetap akur. Namun setiap kali dia disindir atau ditanya oleh kedua ibu bapanya, Salihah tidak pernah mahu mengakui tentang apa yang digembar-gemburkan oleh orang kampung bermula dari mulut Salih sendiri.
    “Mak, ayah mana lebih percaya, antara Sal atau penduduk kampung atau Salih tu?” Itulah saja yang Salihah jawab jika setiap kali dia berhadapan dengan seribu persoalan dari kedua ibu bapanya.
    “Sal, kalau tak ada angin masakan pokok boleh bergoyang?” Cemuh Wak Johar.
    “Mungkin ada beruk-beruk yang berwajah manusia yang mengegarkannya.” Ujar Salihah.
    “Salihah! Kau jangan nak menderhaka dengan aku. Aku ni ayah kau. Kau tengok tu, yang duduk tertonggok sedih tu, mak kau. Tak terfikir ke engkau yang kami ini terasa malu dengan perbuatan terkutuk engkau. Mana nak aku taruk muka aku bila berhadapan dengan penduduk kampung. Kau tak pernah dengar cakap kami.” Marah Wak Johar.
    “Mak, Ayah kenapa kita yang bertelagah kerana mulut orang? Siapa yang nampak Sal jadi jahat di Kuala Lumpur tu? Ada bukti? Tunjukkan orangnya.” Salihah cuba mempertahan diri sekalipun dia memang salah.
    “Salih yang beritahu perkara ni. Kau yang beritahu diakan pasal diri kau? Salih tak jadi pinang kau sebab kau tu bukan anak dara sunti lagi. Dah bolos dah ditebuk tupai.” Ujar Wak Johar. “Aku malu Sal, aku malu dapat anak macam kau ni.” Cemuh Wak Johar lagi.
    “Ayah, mak ada dapat bukit yang Sal ni macam tu? Salih ada bukti? Dia pernah ikut Sal ke KL dulu. Apa yang dia nampak? Sal jadi pelacur ke, duduk di rumah tumpangan ke?” Jawab Sal cuba membela diri.
    Kedua ibu bapanya terdiam. Benar juga kata Salihah tu. Salih sendiri turut ke Kuala Lumpur mengambil Salihah untuk pulang ke kampung. Selama sejak pulang dari Kuala Lumpur, tak pernah Salih cerita tentang keburukan Salihah. Cuma setelah diberitahu yang Salihah tidak ada hati untuk berkahwin dengan Salih, barulah Salih memburuk-burukkan Salihah.
    “Betul pakcik, Salihah ada beri surat. Saya baca surat yang Salihah tulis tentang keaiban dirinya. Sebab tu saya ambil keputusan untuk  tidak memilih dia sebagai isteri.” Ujar Salih beriya-iya bila ditanya oleh Wak Johar.
    “Mana surat tu, boleh aku tengok?” Tanya Wak Johar.
    “Emm...Err... Tak ada...” Tergagap-gagap Salih menjawab bila diminta dia buktikan tentang tuduhannya terhadap Salihah.
    “Kau kata ada surat yang ditulis Salihah, mana? Kenapa tak ada pulak?” Sampuk Wak Kamal pula. Ketika Wak Johar bertemu dengan Salih, Wak Johar membawa beberapa orang kampung sebagai saksi. Jika benar Salihah jahat, Wak Johar sudah bulat tekadnya untuk menghalau Salihah keluar dari kampung. Jika tidak, inilah saja cara yang mampu Wak Johar pertahankan maruah keluarganya yang tercemar dik kerana mulut Salih.
    “Saya dah bakar...” Ujar Salih serba salah.
    “Pembohong, kenapa kau bakar? Kau sengaja nak mengaibkan aku sekeluarga, kan?” Bentak Wak Johar.
    “Betul tu Salih, kau jangan buat orang lain susah.” Sampuk Wak Kamal.
    “Tak ada, betul saya dah bakar. Salihah suruh saya bakar selepas baca.” Jawab Salih terkebil-kebil matanya ketakutan.
    “Aku tak percaya cakap kau. Kau tengok Kamal, Salih sengaja mengada-adakan cerita nak mengaibkan keluarga aku.” Serta merta Wak Johar menerpa ke arah Salih, menumbuk dan menerajangnya berkali-kali. Tersungkur Salih rebah ke bumi. Mujurlah cepat-cepat Wak Kamal menarik lengan Wak Johar menahan dari terus memukul Salih. Kalau tidak sudah tentuk teruk Salih dikerjakan oleh Wak Johar.
    “Celaka kau Salih, menyusahkan hidup aku sekeluarga.” Herdik Wak Johar geram.
    Sejak peristiwa itu, warung Salih sudah tidak ramai pengunjungnya. Ramai yang menyangka Salih yang mengada-adakan cerita tentang Salihah.
    Kesal benar Salih membuka pekung dada Salihah. Tidak terfikir olehnya ini balasan yang dia terpaksa terima. Barulah dia mengerti maksud dik kerana mulut badan binasa. Sekalipun betul cerita tentang Salihah, sepatutnya dia yang diamanahkan, dipercayai oleh Salihah tidaklah perlu menggembar- gemburkannya.
    “Sudahlah tu Sal, abang pun dah tak ada sesiapa lagi. Abang mahu Sal pun mengerti tentang kehidupan ini. Kita sama-sama menemui nasib malang sekalipun berlain caranya.” Ujar Hafis memujuk Salihah ketika Salihah menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpanya.
    “Abang.”
    “Sal...”
    “Malangkan nasib Sal?”
    “Lupakanlah semua tu. Mula dari sekarang  Sal ada abang. Kita bina hidup baru.” Pujuk Hafis.
    “Abang terima Sal ke?”
    “Apasalahnya...”
    “Sal kotor bang.”
    “Sucikan hati, bersihkan diri dari perbuatan mungkar. Tuhan sayangkan kita. Mungkin semua ini ada hikmahnya sehingga kita ditemukan kembali sekalipun selama ini abang anggap kau macam sahabat. Tapi apa salahnya kita pupuk cinta dan lembaran baru bersama, Sal.” Ujar Hafis. Kata-kata itu datang dari keikhlasan hati Hafis, bukan dari bibirnya. Cuma bibirnya yang menyampaikan isi hatinya yang baru hendak dipulihkan dari kesepian.
    Sejak hari itu, Hafis dan Salihah makin intim hubungan mereka. Rasa cinta  dan sayang semakin membara, terasa kehangatannya. Kalau sehari Salihah tidak berkunjung ke rumah Hafis, Hafis rasakan yang dirinya kehilangan seseorang. Begitu juga dengan Salihah, kalau sesaat tidak menatap wajah Hafis, rindunya melonjak-lonjak. Mungkin itulah adat orang bercinta walaupun cinta untuk kali yang kedua. Namun tak sehebat cinta pertama.
    Beberapa minggu yang lalu Hafis pernah bermimpi untuk kedua kalinya bertemu dengan Leya. Leya mahukan Hafis mengahwini Salihah. Leya mahu Hafis membela nasib Salihah. Leya izinkan Salihah jadi isteri Hafis. Disebabkan itulah, Hafis anggap semua itu adalah amanah dari arwah tunangnya yang perlu dia laksanakan. Pernah suatu hari, Hafis bertemu keluarga Salihah untuk menyatakan hasratnya ingin memperisterikan Salihah.
    “Kau sanggup terima Salihah yang dah tak sempurna ni ke, Hafis?” Tanya Wak Johar mencari kepastian.
    “Tak sempurna? Apa maksud pak cik?”  Tanya Hafis pura tidak mengerti.
    “Kau tak dengar gembar-gembur orang kampung mengata tentang keburukan Salihah?” Jelas Wak Johar.
    “Orang kampung memburuk-burukkan Salihah? Tak faham saya pak cik.” Hafis sebenarnya tidak mahu cerita Salihah terus jadi bahan perbualan orang kampung. Hanya dia saja yang dapat membela nasib Salihah. Tanpa dia siapa yang sanggup.
    “Salih beritahu orang kampung yang Salihah di KL tu jadi perempuan simpanan.” Ujar Wak Johar tidak terangak-agak.
    “Masya-Allah, sampai ke situ sekali. Sebenarnya pak cik,  saya dan arwah Leya yang tahu cerita sebenar tentang Salihah. Salihah banyak ceritakan tentang hidupnya di sana.” Ujar Hafis cuba mempertahankan Salihah.
    “Apa sebenarnya berlaku Hafis?” Tanya ibu Salihah pula. Ketika perbualan antara Hafis dengan Wak Johar dan Esah, ibu Salihah. Salihah ada bersama ketika itu.
    “Kalaulah arwah Leya ada, pasti dia menangis bila mendengar cerita yang memburuk-burukan tentang Salihah sahabatnya tu.” Ujar Hafis perlahan tapi dapat didengar oleh Wak Johar dan Esah.
    “Cuba kau ceritakan perkara sebenar Hafis, biar pak cik faham dan tak buruk sangka terhadap anak pak cik ni.”
    “Sal minta kami tolong dia ambil barang-barangnya di rumah sewa kat KL tu. Sal beritahu dia nak berhenti kerja sebab tak tahan dengan dugaan hidup di kota. Ramai lelaki yang menggodanya bertujuan untuk kepentingan nafsu. Salihah telah banyak kali mengelak dari terjebak. Hinggalah satu ketika, bosnya yang menggoda. Setiap hari menggoda Salihah. Macam-macam cara bosnya memancing Salihah untuk dijadikan perempuan simpanan. Mujurlah Salihah tidak terpengaruh dengan kekayaan sekalipun dia dah pun menerimanya. Salihah sempat sedar dari tipu helah bosnya tu. Sebab itu dia berhenti dan pulangkan semua pemberian dari bosnya. Salihah dapat menyelamatkan maruahnya dari tercemar. Salihah masih suci pak cik. Percayalah.” Jelas Hafis dengan nada yang tenang.Sekalipun dia tahu dia telah berbohong dengan Wak Johar dan Esah ibu Salihah. Ketika itu juga air mata Salihah menitis membasahi pipinya.
    “Sal, sekarang ni barulah ayah faham. Maafkan ayah Sal.” Ujar Wak Johar pada Salihah.
    “Mak pun sama Sal. Maafkan mak sayang.” Esah turut menyesali kesilapannya yang mencurigai tentang perangai anaknya.
    “Sekarang ni terpulanglah pada kau Hafis. Kalau kau nak mengambil Salihah jadi isteri kau, jagalah dia baik-baik. Pak cik tak ada halangan. Cepat-cepatlah dirikan masjid, jangan tunggu lama-lama takut nanti ada lagi pulak fitnah yang datang.” Nasihat Wak Johar pada Hafis.
    Hari-hari yang berlalu begitu pantas tanpa disedari siang dan malamnya menghambat usia menjadikan manusia semakin berusia. Suka dan duka sekalipun menghambat diri namun ianya terpaksa juga diharungi. Setiap kalimah dari bicara sama ada yang dusta ataupun yang nyata kadang kala ianya terpaksa dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab.             Hafis semakin ceria berbanding sebelumnya, sejak Salihah sentiasa disisinya. Semangat Salihah kembali kuat setelah Hafis memberikan dorongan terhadapnya. Tak pernah dia fikir yang Hafis sanggup buat apa saja untuknya sekalipun Hafis tahu tentang dirinya.    Salihah telah jadi tunangan Hafis. Ibu Hafis tidak pernah menghalang hubungan Hafis dengan Salihah sekalipun dia pernah mendengar cerita buruk tentang Salihah. Fikir ibu Hafis, dia mahukan Hafis kembali ceria seperti dulu. Ibu Hafis tidak mahu melihat Hafis sentiasa murung dan macam orang gila sejak kematian Leya.
    “Seminggu lagi kita akan diijab kabulkan. Sal suka tak?”
    “Siapa yang tak suka, bang. Tambah pula abang nilah pujaan hati Sal selama ini. Abang tentu ingatkan.”
    Hafis tersenyum. Salihah begitu manja disisi Hafis. Ingatan Hafis masih merasakan yang Leya sentiasa di sisinya.
    “Bang...”
    “Ada apa Sal?”
    “Tentunya Leya sukakan tengok kita berdua?”
    “Ya... Kerana dia, kita bersatu.”

**********************************************************

BAB 17

 Photobucket
AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu


BAB 17

Pengorbanan

DIKACA TV rancangan AF3 sedang berlangsung. Malam ini merupakan konsert terakhir AF3 yang akan menentukan nasib peserta-peserta AF3. Mawi adalah antara peserta yang menjadi tumpuan utama penonton-penonton, peminat-peminat dan penyokongnya. Mawi masih ada pesaingnya. Antara pesaing Mawi yang tidak kurang hebatnya Marsha, Emylia dan Felix. Mawi perlu menunjukkan keikhlasan dalam penyampaian lagu-lagunya. Jika tidak harapan untuk meraih kejayaan mungkin agak sukar.
‘Aduh Salihah’, merupakan lagu terbaru ciptaan M.Nasir, liriknya pula ditulis oleh Loloq, khas untuk Mawi sampaikan sempena peringkat akhir AF3 malam itu.
Pemuda kampung, anak felda yang sebelum ini tidak pernah merasakan bagaimana muncul di khalayak ramai dan di kaca tv, kini berdebar-debar menanti keputusan apakah nasibnya. Mungkin lagu ‘Aduh Salihah’ itu menjadi tangkal atau tiket untuknya melonjak sebagai artis, instant artis, popular mendadak. Ramai yang berpendapat lagu ‘Aduh Salihah’ menjadi lagu yang teristimewa dan akan membawa tuah untuk Mawi.
Persembahan Mawi pada malam itu memang hebat. Sungguhpun lagu ‘Aduh Salihah’ lagu terbaru yang sukar untuk dinyanyikan, dapat dilihat Mawi menyampaikannya dengan baik. Setelah hampir dua jam persembahan itu berakhir, tibalah masa penyampaian anugerah akademi dan juga keputusan siapa yang layak menjuarai AF3 kali ini. Memang sudah diduga, keputusan malam itu berpihak kepada Mawi. Mawi menjadi ikon Melayu yang pertama merangkul kesemua award AF3. Itulah kehebatan Mawi berbanding dengan pemenang-pemenang AF sebelumnya.
“Hafis World!!! Belia Benci Dadah!!!” Itulah slogan Mawi ketika tampil memberikan kata ucapan. Siapa sangka orang yang warak, bilal, ustaz dan pandai mengaji al-Quran kini bertukar menjadi seorang artis. Memang hebat persembahan Mawi malam itu. Memang layak Mawi digelar juara.
“Abang... Dah lah tu, seronok benar dia tengok Mawi. Abang jangan berangan pulak.” Usik Salihah, menghampiri Hafis. Hafis duduk tersandar disofa mengadap tv. Salihah terus menghempap punggungnya ke pangkuan Hafis. Terhenyak punggung Hafis hingga melekuk kusyen sofa.
Pengantin baru ini sedang seronok bercumbu-cumbuan. Baru seminggu mereka diijab kabulkan.
“Sal tak bangga ke nama Sal jadi tajuk lagu ciptaan M.Nasir tu?” Ujar Hafis pula.
“Tak.....” cebik bibir Salihah. Sengaja dia pura-pura tidak menyukainya. Sedangkan hatinya terlonjak-lonjak suka. Apa lagi yang menyanyi lagu itu pula bernama Mawi. Handsome pulak tu. “Tapi abang Hafis aku ni lagi Handsome...” bisik hati Salihah.
“Kenapa?”
“Salihah tu jahat... Dia tinggalkan Hafis. Cuba abang hayati betul-betul lirik lagu tu. Tapikan Salihah isteri abang ni baik, sayang kat abang tak tinggalkan abang” Ujar Salihah sambil memeluk erat pinggang Hafis.
“Sal, itu lagu saja bukan betul.”
“Tapi dia tak sayangkan Mawi kan?”
“Tanya Loloqlah kenapa mesti lagu tu dicipta untuk Mawi.”
“Abang.... Jomlah... Masuk tidur...” Rengek Salihah tak sabar-sabar hendak tidur.
“Sal, abang rasakan, macam abang pulak yang berada ditempat Mawi tu.” Ujar Hafis.
“Emm...Perasaanlah tu. Abang, nama dia Asmawi Ani, nama abang Hafis Seman... Sudahlah tu. Mawi tu dapat duit, dapat kereta, dapat rumah, abang pulak dapat apa tengok dia?” Ujar Salihah.
“Abang dapat Salihah, Salihah anak Wak Johar.” Usik Hafis sambil merangkul pinggang Salihah. “Salihah merelakannya. “Ini manja-manja dengan abang ni mesti nak ajak abang masuk tidurkan?” Usik Hafis mesra, memcubit pipi Salihah lembut.
“Dah malamlah bang... Jomlah masuk tidur.”
Maklumlah pengantin baru. Dalam suasana seminggu tiada lain yang mereka inginkan. Kerancakkan dan kehangatan asmaralah yang paling utama.
Hafis menekan suiz off tv. Kemudian merangkul Salihah mendukung masuk ke dalam bilik. “Bang!!! “ Terjerit Salihah ketika Hafis mencampak tubuh Salihah ke atas ranjang. Jeritan Salihah didengar oleh ibu Hafis.
“Kenapa Salihah....” Tanya ibu Hafis dari dalam biliknya.
“Tak ada apa-apa mak... kaki Sal terkucil sikit ni” Sambut Salihah. Kedengaran daun pintu bilik mereka berdua ditutup sedikit kuat. Hafis tergelak kecil.
“Awak ni... yang menyibuk nak tahu pasal menantu kita tu kenapa pulak?” Haji Seman mencelah. “Macam kita dulu juga, pengantin baru.Awak ni tak paham-paham pulak,” Ujar Wak Seman lagi. Sambil memalingkan mukanya menghadap isterinya.
Ibu Hafis menggeleng kepala... Senyum memanjang. “Pengantin barulah katakan. Macam tulah... Macam aku waktu muda dulu...” Bisik hati kecil Ibu Hafis.
Suratan atau kebetulan, pertemuan dan perpisahan, segalanya akan ada titik permulaan dan titik kesudahannya. Mungkin sudah disuratkan Hafis memperisterikan Salihah dan bukan Leya. Mungkin peristiwa silam yang melampaui batas menjadi landasan kepada kehidupan setiap insan, semuanya perlu dirasai dengan penuh keinsafan.
Kalimah cinta yang dikurniakan oleh Tuhan pada hamba-Nya bergelar manusia amat sempurna dan indah. Cuma manusia yang bergelar insan sahaja dapat merasakan nikmat cinta. Sayangnya ada manusia yang sanggup menggadakan cinta kerana nafsu. Cinta kurniaan Tuhan yang lahir dari hati dipersendakan, diperalatkan sekadar untuk keseronokan.
Alangkah hinanya manusia seperti ini disisi Tuhan. Siapakah yang harus dipersalahkan andainya cinta yang suci itu diperolok-olokkan?
Malam yang dingin itu, Hafis dan Salihah sudah lama melayarkan bahtera kasihnya. Mereka terlena didalam pelukan dan dibuai mimpi-mimpi indah. Alangkah indahnya sebuah percintaan berakhir dengan perkahwinan. Namun begitu, tidak semua percintaan berakhir dengan perkahwinan.
Cinta separuh jalan, cinta yang terbiar, cinta yang dinodai dengan segala pendustaan. Apakah benar falsafah ‘Cinta perlukan pengorbanan’?.
Apakah pengorbanan yang perlu dilakukan demi kerana sebuah cinta? Apakah menerima perpisahan itu dikatakan pengorbanan? Atau membuktikan kesetiaan dengan melakukan dosa dan noda itu pengorbanan? Atau kesetiaan melampau pada yang disayang, sedangkan orang yang disayang itu tidak setia pada kita dikatakan pengorbanan? Namun setiap pengorbanan itu perlu ada batasannya. Biarlah pengorbanan itu berpada-pada, agar maruah diri tidak tercemar.

***********************************************


BAB 18

Photobucket
AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu
BAB 18

Rialiti Dalam Mimpi

SENJA  sudah mula melabuhkan sinarnya. Malam akan muncul seperti biasa. Sang bayu yang siangnya agak kasar hembusannya, kini mula berlembut. Berduyun-duyun unggas terbang rendah mencari sarang, pulang  untuk berehat sementara menunggu siang diesok hari. Biar setinggi mana unggas terbang ke langit, akhirnya ke sarang juga pulangnya. Riuh pikuk anak-anak yang bermain sebelum senja menjelang, sudah mula berkurangan. Mereka mengerti yang malam akan mengaburi mata mereka dari terus bermain.
    Kedamaian suasana kampung  mula dapat dirasakan keheningannya. Tidak sesibuk siang, ke hulu ke hilir penghuni alam mengejar sesuatu tujuan. Dan malam adalah waktu yang sesuai untuk seluruh penghuni alam berehat melepaskan lelah setelah penat bekerja sepanjang hari. Namun begitu, kehadiran malam masih ada tugasan penting bagi manusia. Tanggungjawab pada Ilahi wajib terus dilakukan. Dan jangan lupa, malam turut mengagihkan sedikit peluang kepada penghuni alam yang tidak mampu mencelikkan matanya disiang hari. Inilah keindahan dunia ciptaan Allah. Jika siang terlalu sibuk, malam yang hening juga tidak terkecuali sibuknya dik kerana ada penunggu malam memulakan tugasan kehidupannya.
    Beberapa minit saja lagi waktu Magrib akan tiba. Maka berkumandanglah suara azan dari corong pembesar suara yang dipasang di surau dan masjid.
    “Hafis! Hafis! Bangun! Dah Maghrib ni.” Ada suara garau tetapi lembut sebutannya menerjah masuk ke telinga Hafis, mengejutkan Hafis yang sedang tidur lena. Hafis masih tidak sedar.
    Sejak lepas Asar hingga mencecah waktu Maghrib, Hafis melelapkan matanya dihamparan permaidani surau beralaskan sejadah. Ketika dia begitu asyik melagukan ayat-ayat suci al-Quran, tiba-tiba saja matanya terlena. Lantas diatas sejadah beralaskan permadani, disitulah dia memanjangkan lenanya.
    “Hafis! Hafis! Bangun... Dah Maghrib ni.” Berkali-kali suara garau lembut Ustaz Sufi mengejutkan Hafis. Akhirnya Hafis tersedar. Dia masih mamai.
    “Sal... Sekejaplah, abang mengantuk ni...” Ujar Hafis sambil menggosok-gosok kelopak matanya yang masih lagi terpejam.
    “Sal?” Terkejut Ustaz Sufi hairan bila Hafis menyebut nama Sal. Lalu dikejutkannya terus Hafis. “Hafis!  Bangun! Kau ni tidur tak ingat dunia. Dah Maghrib. Bangun, tugas dah sampai.” Ujar Ustaz Sufi lagi.
    “Sekejaplah sayang...” Hafis menjawab. Menggeleng kepala Ustaz Sufi ketika mendengar Hafis menyebut perkataan sayang. “Hafis! Mengigau pulaklah dia...Hafis!” panggil ustaz Sufi itu lagi.
    Akhirnya Hafis tersedar setelah berkali-kali dikejutkan.
    “Eh! Kat mana saya ni? Ustaz... Maaf ustaz.” Hafis bangun dari baringnya.
    “Hafis, Hafis, kau tidur kat surau ni.” Beritahu Ustaz Sufi. “ Mimpi seronok ke? Sampai sebut nama perempuan.” Tanya Ustaz Sufi pula.
    “Masya-Allah, bermimpi rupanya saya.” Hafis baru sedar yang tidurnya disiang hari itu diulik mimpi. “Emm! Saya mimpi berkahwin... Macam-macam lagilah , ustaz.” Ujar Hafis. Ustaz Sufi tergelak kecil.
    “Sudahlah tu... Bangun pergi mandi, dah nak masuk waktu Maghrib ni. Cepat azan.” Pinta Ustaz Sufi. Kemudian Ustaz Sufi terus ke mimbar untuk membaca ayat suci al-Quran sementara menunggu Hafis melaungkan azan.
    Malam itu selepas Maghrib, sementara menunggu waktu Isyak sampai, Hafis bersembang dengan Ustaz Sufi. Ceritanya berkisar  tentang mimpi yang dia alami sepanjang tertidur di surau sejak petang tadi. Tersenyum Ustaz Sufi mendengar cerita mimpi Hafis itu.
    “Tulah, elok awak cepat kahwin. Membujang lama-lama tak baik. Ada hikmahnya mimpi awak tu tadi. Ada maksud yang tersirat dan tersurat disebalik mimpi indah itu.” Ujar Ustaz Sufi.
    “Tapi... Saya betul-betul kelirulah ustaz.”
    “Keliru? Keliru tentang apa?”
    “Tentang mimpi saya tu.” Jelas Hafis lagi.
    “Tak ada yang kelirunya. Kan itu hanya mimpi. Permainan tidur. Kadang kala mimpi ni ada yang betulnya. Macam kita bermimpi bertemu Rasulullah. Kalau mimpi yang bukan-bukan tu, susah nak kita tafsirkan mimpi tu.”
    “Tapi ustaz, mimpi tu kenangan manis ketika saya baru berkahwin dengan arwah isteri saya.” Hafis masih mencari kepastian.
    “Dalam surau ni mana ada syaitan nak ganggu awak. Jadi cerita tu mungkin ada maksud yang tersirat.”
    “Entahlah. Tapi....” Fikir Hafis teragak-agak. Mimpinya menjadi teka-teki. Hafis tercari-cari  jawapa tentang mimpinya sepanjang petang itu.
    “Hafis, kalau tak silap umur awak dan masuk 28 tahun kan?”
    “Betul ustaz.”
    “Kalau tak silap dah 3 tahu awak menduda. Ialah, sejak kematian arwah Salihah. Maafkan saya kalau apa yang saya katakan ini membuat awak pilu. Bukan niat saya macam tu. Cuma... Ialah kalau eloknya awak berkahwinlah lagi. Yang pergi tak akan kembali. Yang hidup kena teruskan hidup.” Nasihat Ustaz Sufi.
    Entahlah Ustz, belum teringin lagi.”
    “Kenapa awak tak mahu berkahwin?”
    “Belum ada jodoh kot.”
    “Jodoh kena cari. Kan ramai anak gadis kampung yang baik budi pekertinya. Kenapa awak tak mahu mencuba, merisik bertanyakan kalau-kalau mereka tu masih kosong?”
    Hafis tersenyum panjang. “ Saya ni hanya bilal kampung, bukan berpangkat pun. Lainlah kalau saya ni macam Mawi artis baru tu, ada bakat dan Allah berikan dia rezeki yang melimpah. Mungkin ramai anak gadis yang tergila-gila kat saya.” Ujar Hafis sambil mengaru-garu kepalanya.
    “Setahu saya ada anak gadis yang sukakan awak Hafis?”
    “Tapi ustz, ingatan saya pada arwah isteri saya masih tetap subur.”
    “Hafis, jangan terlalu fikirkan kenangan silam.  Jadikan kenangan silam sebagai satu jalan untuk mebuka lembaran baru dalam hidup.”
    Sudah tiga tahun Salihah meninggal dunia kerana keguguran ketika menggandung. Ketika itu Salihah sarat tujuh bulan. Salihah terjatuh dari tangga rumah ketika hendak turun ke halaman. Tergelincir kakinya mungkin kerana kayu anak tangga rumah licin selepasd semalaman ditimpa hujan.
    Semejak itulah Hafis bersendiri, menyepi dan kadang kala sukar untuk ditemui. Simpati orang kampung mungkin hanya dapat melihat apa yang dirasakan oleh Hafis. Tidak seperti Hafis, yang terpaksa menaggung penderitan hati. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
    Sudah berkali-kali ibu dan ayah Hafis menasihati Hafis agar mencari ganti. Teman hidup baru. Tak elok membujang selama-lamanya.
    Ustaz Sufi pun sama sependapat ibu dan ayah  Hafis. Namun Hafis masih tetap membisu.
    “Bukan senang nak dapat seorang isteri yang setia macam Salihah.” Itulah yang selalu dikatakan oleh Hafis kalau ada yang bertanya kabarnya.
    “Cubalah suruh ayah dan mak awak carikan pasangan hidup untuk awak. Berkat kalau berkahwin pilihan orang tua ni.” Nasihat Ustaz Sufi lagi.
    Hafis tersenyum malu. “Ustaz ni pandai aje nasihatkan saya. Saya dah pun pernah berkahwin Tapi yang ustaz tu bila nak berkahwin? Membujang lagi.” Tanya Hafis. Termenung sejenak Ustaz Sufi bila dia ditanyakan soalan kahwin.
    “Saya masih muda, tapi saya dah ada pilihan. Kalau ada jodoh, dua tahun lagi saya akan melangsungkan perkahwinan.” Jelas Ustaz Sufi.
    “Siapa pilihan ustaz tu?”
    “Orang Selangor. Dia masih menuntut di Universiti di Mesir.” Beritahu Ustaz Sufi.
    “O! Beruntung Ustaz dapat pasangan secocok dalam kehidupan dunia dan akhirat. Saya nak cari macam itulah, kalau boleh.” Ujar Hafis.
    “Eh! Kita ni asyik bersimbang je. Rasanya dah masuk waktu Isyak ni Hafis, asyik bersembang je, lupa nanti nak solat.”
    “Terima kasihlah ustaz kerana sudi mendengar cerita mimpi saya tu.” Ujar Hafis, kemudian bangun berjalan menuju kebelakang mimbar surau untuk melaungkan azan Isyak. Ustaz Sufi mengekorinya dari belakang. Didalam surau masih ada beberapa orang kampung yang sama-sama berjemaah solat Maghrib masih tidak  pulang ke  rumah, mungkin langsung untuk menunaikan solat Isyak.
    Malam itu agak kurang ahli jemaah yang bersembahyang Isyak. Sudah menjadi kebiasaan, kalau hari-hari bekerja surau agak lengang. Mungkin orang kampung kepenatan setelah sepanjang hari bekerja keras mencari rezeki. Malam Khamis dan malam Jumaat selalunya surau dipenuhi ramai orang kampung.
    Pada kebiasaannya malam Jumaat ada tahlil, ada hidangan makanan yang disedekah orang-orang tertentu yang berniat untuk mengadakan kenduri doa selamat, membaca yassin dan kadang kala kenduri arwah jika ada kematian. Selepas selesai solat Isyak, dan mengunci pintu surau, Hafis terus pulang ke rumah. Kadang kala dia singgah juga ke kedai kopi disimpang jalan masuk ke kampung berdekatan surau. Sesekali duduk bersembang dengan kawan-kawan dan minum kopi tak jadi masalah buat Hafis. Cuma malam itu saja dia tidak berapa selesa untuk singgah di kedai kopi walaupun ada kawan-kawannya yang mengajak.
    Selepas makan malam bersama keluarga,  Hafis terus masuk ke bilik. Dia bukan hendak terus tidur. Sengaja dia hendak menyendiri diri. Di ruang serambi adik-adiknya sedang menonton rancangan tv. Ayahnya masih di  ruang dapur bersama ibunya bersembang rancak. Entah apa yang disembangkan dua laki bini itu, Hafis langsung tidak ambil peduli.
    Malam sudah hampir mencecah waktu pagi. Terasa kedamaian menghampiri diri. Bunyi  bising suara dari rancang tv sudah tidak kedengaran. Hafis pasti adik-adiknya sudah masuk tidur. Juga sudah tidak kedengaran suara  ayah dan emaknya yang tadinya bersembang. Mungkin mereka berdua pun sudah masuk ke bilik tidur masing-masing.
    Jam yang tersangkut didinding serambi rumah Hafis sudah berbunyi menandakan tepat pukul 12 malam. Hari berikutnya sudah mula. Namun mata Hafis belum mahu lena lagi. Mungkin petang tadi dia puas tidur, maka matanya masih boleh bertahan sehingga menjelang subuh.
    Sebenarnya bukan kerana dia tidur siang, punca Hafis tidak dapat tidur malam itu. Sebenarnya Hafis masih terkenangkan mimpinya petang tadi. Fikirannya masih teringat pada bekas isterinya, Salihah dan Leya bekas tunangnya.
    “Leya. Salihah. Kenapa kau tinggalkan aku sayang. Keluh hati Hafis. Air matanya sedikit   tergenang.


MALAM yang tadinya baru saja mengakhiri tugasannya kini digantikan dengan waktu pagi. Sudah pukul 12.05 tengah malam, itulah sebutan waktu yang mungkin sesuai. Ada yang menyebutnya 12.05 pagi. Hari esok mula menjelang, menggantikan hari ini. Hari ini hanya tinggal kenangan sebagai hari semalam. Hari esok pula sudah tentu menjadi hari ini. Hari demi hari berlalu begitu pantas mengubah situasi kemanusian dan alam sejagat. Putaran bebola bumi umpama roda. Begitu juga putaran kehidupan manusia samalah seperti roda, sekejap di atas sekejap di bawah.
    Walaupun pernah kita lihat ada manusia sentiasa kedudukannya di atas. Mungkin itu pandangan mata kasar kita. Sebaliknya tidak siapa tahu, hanya tuan punya milik diri saja yang tahu di mana kedudukan mereka sebenarnya. Sama ada atas atau di bawah.Mungkin kuasanya membuat dia di atas, tapi kekuasaan tuhan membuatkan dia manusia paling dibawah dan tidak terkecuali paling hina.Yang azali yang sempurna adalah hak Allah. Sukar untuk menduga apa sebenarnya yang akan berlaku disebali apa yang telah berlaku.
    Inilah yang disebut ‘hikmah’.Jika sesuatu yang pahit itu menimpa diri kita, kita perlu katakan itu ada hikmahnya. Hikmah untuk kita percaya tentang kebesaran Allah. S.W.T. Begitulah dengan nasib Hafis. Kematian bukan satu perkara yang dikatakan kerugian dan kekecewaan tidak perlu dirasai kerana itu adalah kehendak Ilahi. Allah lebih menyayangi hamba-Nya berbanding kita sesama manusia. Jika seratu-peratus kekuatan cinta kita pada orang yang kita sayangi , ianya tidak sama 1 peratus cinta Allah pada hamba-Nya. Allah Maha Pengasih Lagi Penyayang. Subahanallah.
    Mata Hafis sudah mula rapat, mulutnya sudah berkali-kali menguap tanda mengantuk. Entah pukul berapa Hafis terlena, langsung dia tak ingat hinggalah dia dikejutkan oleh ayahnya kerana waktu subuh sudah hampir.
    Seperti biasa dia akan ke surau melaksanakan amanah Tuhan, melaungkan azan, menyedarkan kaum  muslimin dan muslimat agar bangkit dari terus lena tidur untuk melaksanakan suruhan Ilahi. Sebagai  muslimin dan muslimat yang percayakan adanya Allah yang maha Esa, solat Subuh wajib dilaksanakan bagi melengkapi  lima waktu yang diamanakan oleh Rasullulah. S.A.W. Kalau tidak bangkit menunaikan solat  Subuh dan masih berlengkar di atas katil, maka ketika syaitan dengan zalimnya menyelimutkan mereka dengan kulit khinzir.         Semakin lena tidur semakin teballah selimut kulit khinzir melitup tubuh seseorang muslimin yang tidak menunaikan solat Subuh. Itulah yang selalu Hafis beritahu kepada adik-adiknya yang malas hendak bangkit bagi menunaikan solat Subuh.
    Terlalu cepat masa berlalu, sehingga malam yang sepi dan pekat kegelapannya terpaksa akur dengan kehadiran sang mentari dan siang pun menjelang. Pagi itu seperti biasa Hafis akan bersarapan bersama ayah ibu dan adik-adiknya. Selalunya selepas bersarapan, seperti biasa tugasnya ialah menghantar adik-adiknya ke sekolah.
    Tapi hari itu kebetulan cuti sekolah baru saja bermula. Maka tak perlulah Hafis  tergesa-gesa bersarapan seperti selalu. Sempatlah Hafis dan keluarganya bersembang panjang sebelum ayahnya ke kebun atau emaknya menyudahkan basuhan pakaian.
    “Hafis, mak lupa nak beritahu kamu, petang ni pak long dengan mak long kamu nak bertandang ke sini.” beritahu mak Junah, ibu Hafis. Hafis hanya mendengar apa yang diperkatakan emaknya itu.
    “Mereka bermalam kat sini ke?” Tanya Hafis pula.
    Pagi itu sarapan yang disediakan oleh mak Junah agak special sedikit dari selalu. Ada pisang goreng, keledek goreng dan air milo. Pisang goreng, keledek goreng memang jadi kesukaan Hafis. Bagi orang kampung  juadah seperti itu sudah mencukup, tambahan kalau ianya juadah kegemaran. Selalunya, ibunya hanya menyediakan beberapa keping roti yang disapu dengan magerin dan air kopi.
    “Dengar ceritanya, mereka tinggal dua tiga hari kat sini.” Haji Seman, ayah Hafis mencelah.
    “Ada apa mereka ke mari mak, ayah?” Tanya Hafis mencari kepastian.
    “Dia orang tu dah lama tak ke mari. Maklumlah  asyik sibuk dengan kerja. Katanya mereka nak tengok dusun mereka kat hujung kampung tu, bersebelahan tanah ayah kau” Ujar mak Junah.  Hafis terangguk-angguk tanda mengerti.
    “Macam tulah orang bandar, musim buah saja mereka baru ada hati nak pulang ke kampung. Kalau tak ada musim buah, batang hidung pun payah nak nampak.” Haji Seman mencelah lagi.
    Hafis hanya tersenyum. Dia tidak kisah sangat dengan kehadiran saudara mara ke rumahnya. Hafis dah biasa dengan mereka.
    “Kata mak long kau, dia ada bawak tetamu  istimewa yang nak diperkenalkan dengan kita sekeluarga.” Beritahu mak  Junah lagi.
    “Tetamu?  Lelaki ke perempuan?” Tanya Hafis ingin kepastian.
    “Entah, mak pun tak tahu.”
    “Kenapa awak tak tanya?” Tanya Haji Seman pula. “ Kenalah kita sediakan makanan yang sedap-sedap untuk menjamu mereka nanti.” Sambung Haji Seman.
    “Tak perlu susah-susah. Hafis, nanti kau tangkap dua tiga ekor ayam kat reban tu. Kita masak gulai lemak ayam. Mak pun dah kumpulkan pucuk  ubi, paku-pakis, pucuk buas, jantung pisang. Semua tu makanan kegemaran pak long dengan mak long kamu, Hafis.” ujar mak Junah.
    “Nanti Hafis tangkap ayam tu mak. Hafis nak ke pekan sekejap. Nak beli surat kabar.” Ujar Hafis kemudiannya bangun dari kerusi selepas kenyang bersarapan. Langkahnya teratur masuk ke bilik. Beberapa minit kemudian Hafis keluar berpakaian kemas. Ditangannya terpegang sebiji topi keledar.
    “Mak, ayah saya keluar dulu.” Pinta izin Hafis. Melangkah ke pintu, membuka daun pintu, menuruni satu persatu anak tangga. Kemudian membongkok masuk di bawah rumah menyorong keluar motorsikal.
    “Hafis nanti kau belikan ayah tembakau cap nenas ya! Dah nak habis tembakau ayah ni.” Pesan Haji Seman yang tergesa-gesa ke muka pintu mendapatkan Hafis. Hafis hanya mengangguk. Sebentar kemudian bunyi enjin motorsikal kedengaran. Sekejap itu juga bunyi motorsikal perlahan hilang dari pendengaran, menandakan Hafis sudah jauh meninggalkan persekitaran rumahnya.
    Haji Seman kembali semula ke meja yang terhidangnya juadah sarapan pagi, duduk semula dikerusi menyambung minumnya.
    “Siapa tetamu yang nak abang long  kenalkan pada kita tu, Junah?” Setelah Hafis tiada, barulah ayah Hafis membuka suara bertanya.
    “Entah bang, kata kak long, perempuan. Katanya nak dikenalkan pada Hafis. Kata kak long gadis itu pun memang sesuai sangat dengan Hafis, beriman, bertudung, sopan santun, elok paras rupanya dan yang paling saya suka bila saya dengar kata kak long, gadis tu pandai mengaji, memasak dan hormat orang tua. umurnya pun tak jauh jarak dengan Hafis.” Ujar mak Junah pada suaminya agak panjang lebar.
    “Kerja apa budak perempuan tu?” Tanya Haji Seman ingin tahu.
    “Kata kak long, dia ustazah, mengajar sekolah agama.”
    “Em...Baguslah tu, kalau berkenan dik hati Hafis, apa salahnya.” Haji Seman  agak setuju dengan cadangan keluarga sebelah abangnya.
    “Kita tengoklah nanti, betul ke kata kak long tu. Kalau elok bolehlah kita hantar orang merisik.” Beriya-iya sangat mak Junah memberi cadangan. Tersenyum melebar Haji Seman mendengarnya.
    “Awak ni, yang  awak beriya-iya sangat kenapa? Kita tengok pun belum budak tu. Lagi pun biarlah si Hafis tu berkenalan dulu. Manalah kot kalau kita yang berkenan, si Hafis pulak tak berkenan.”
    “Alaaaa... Saya kenal anak bujang saya tu. Awak jangan risaulah. Hafis tu dengar cakap saya. Kalau saya setuju, dah tentu Hafis menurut je.” Ujar mak Junah menguatkan lagi pendapatnya.
    “Sudahlah tu, terpulanglah pada awak. Saya nak ke kebun ni. Asyik melayan awak berborak, nanti tak ke kebun pulak saya.” Tak kuasa Haji Seman hendak melayan isterinya. Dia bangun serta merta meninggalkan isterinya keluar rumah menghala ke bangsal tempat menyimpan peralatan berkebunnya.
    “Tulah awak, saya ajak berbincang je, awak ada aja alasan tak mahu nak dengar.” Bebel mak Junah pada suaminya. Mak Junah turut bangun dari duduknya mengekori langkah suaminya. “Nanti jangan lupa balik awal. Kalau tak ada apa  aral melintang pukul 2.00 petang sampailah mereka tu.” Pesan mak Junah  pada suaminya lagi.
    “Yelah...” Sambut Haji Seman sambil mencapai basikal usangnya, menghenyakkan punggung ke tempat duduk, menunggang dan terus mengayuh pantas meninggalkan isterinya yang tercegat ditepi reban ayam.
    “Eh! Yang aku ni tercegat kat sini buat apa?”  Bebel perlahan mak Junah. Kemudian masuk semula ke dalam rumah. Langkahnya menuju ke para tempat menyimpan jangung makanan ayam. Dicapainya bungkusan yang tersimpan  biji-biji jangung,  kemudian mak Junah keluar semula menghala langkahnya ke reban untuk menabur biji-biji jangung itu, memberi makan ayam ternakkannya.
    Sampai di reban, beberapa genggam biji-biji jagung dikautnya dari bungkusan itu dan menaburnya ke bumi. Berkejaran ibu ayam, ayam jantan anak-anak ayam ketempat taburan biji-biji jagung itu. Kebulur benar mungkin ayam-ayam itu.
    “Mana satu nak aku suruh Hafis tangkap ayam ni yang nak digulai nanti.” Bisik hati mak Junah sambil matanya liar memilih beberapa ekor ayam yang berebut-rebut mematuk biji-biji jangung yang ditaburkan oleh mak Junah.
    “Aaaa! yang ini boleh, gemuk pun. Jaga kau. Hari ni tamatlah riwayat kau jaguh... Satu si jantan ni dan dua ekor si betina ni. Kau pun dah tua benar. Eloklah jadi gulai hari ni.” bercakap sendiri mak Junah pada ayam-ayamnya.
    Ada juga ayam-ayam bujang yang nakal mencatuk anak-anak ayam hingga berkiok menjerit anak ayam itu kesakitan. Berketuk  ayam jantan  bagaikan melatah gayanya melihat anak-anaknya bergaduh kerana berebut biji-biji jagung. Sesekali ayam jantan tua itu terteleng-teleng membelek muka mak junah yang sudah berkedut seribu.Ayam jantan itu bagaikan faham dengan apa yang dikatakan oleh mak Junah sebentar tadi. Mungkin si ayam jantan itu meminta simpati dari mak Junah.
    Selesai memberi ayam ternakannya makan, mak Junah masuk semula ke rumah. Pintu kandang reban ayam sudah dikuncinya rapat. Mak Junah tak mahu si ayam jantan dengan bini-bininya keluar dari reban. Kalau si ayam-ayam tu sudah bertebaran merata tempat mengais mencari makan, jawabnya susahlah nak menangkapnya nanti.Mak Junah tersenyum sendirian.
    Di dapur mak Junah memulakan tugasan hariannya. Pucuk daun dan beberapa jenis sayur-sayuran di keluarkannya dari peti sejuk. Mak Junah memulakan kerjanya memetik sehelai demi sehelai pucuk daun dan sayur-sayuran. Sesekali dia bercakap sendirian, walaupun perlahan, namum masih boleh didengar.
    “Kalau Hafis kawin lagi nanti, aku nak buat kenduri besar-besaran. Lembu pun ada lima ekor. Seekor pun dah cukup aku korbankan.” Mak Junah berangan-angan.
    “Kali ni aku nak menepah pelamin Hajah Mariam, biar lebih cantik dari dulu. Mahal tak apa janji puas hati. Kalau dengan si Bibah tu, memang murah, tapi tengoklah dulu masa si Hafis dan Salihah kahwin, err! Tak sempurna langsung. Tak Cantik...” Mak Junah mahukan perkahwinan anak sulung lelakinya kali kedua ini lebih hebat daripada dulu. Mak Junah terus memasang angan-angan.

TamaT.....................................


   

No comments: