BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday 13 April 2011

Bab 9 : Dendam

Photobucket 
 AIR MATA SEMALAM
oleh: suteraungu


BAB 9

Dendam

Dendam Salihah pada Hafis masih tetap membara. Salihah berniat untuk menghancurkan hidup dan cinta Hafis dengan Leya. Sudah dua tahun dia tidak bertemu dengan Hafis dan Leya. Selama dia menghilangkan diri itu bukan bermakna dia sudah melupakan segala apa yang telah berlaku terhadap dirinya dengan Hafis. Dia kecewa benar apabila cintanya ditolak bulat-bulat oleh Hafis.
    “Ah! Kau belum tengok aku sekarang Hafis. Kalau kau dah tengok baru kau tahu.” Bisik jahat benak yang tertanam dendam Salihah.
    Dua tahun yang lalu, dia benar-benar malu dik cemuhan Leya. Kesal benar dia bila Leya menghina dirinya seperti itu.
    “Tak pe... Kau tahulah nanti leya.” Salihah masih marah dan geram.
    “Sal, aku tak kisah kalau kau benar-benar cintakan Hafis. Tapi yang aku tak sanggup dengar tentang perangai kau tu.” Masih bermain-main digendang telinga Salihah bagaimana Leya mencemuhnya ketika itu.
    Setelah mendengar apa yang dikatakan oleh Hafis, Leya mengambil keputusan untuk bertemu dengan Salihah. Tanpa pengetahuan Hafis, Leya akhirnya bertemu juga dengan Salihah.
    “Aku kata, aku juga ada hak untuk menyintai Hafis. Leya kau sepatutnya faham. Kau cerminlah muka kau tu, siapa lebih cantik antara kau dengan aku Leya.” Salihah cuba mempertahankan dirinya.
    “Aku tak kisah kau cantik ke atau aku buruk ke, yang aku nak cakap dengan kau ni, yang aku nak nasihat kau ni, jagalah maruah kau tu. Kita ni perempuan Sal.”
    “Leya, apa kau ingat aku tak tahu yang kau tu pun sama dengan aku. Konon, nak tunjuk baik konon. Sudahlah.”
    “Salihah, aku tak kisah kalau betul abang Hafis tu sukakan kau. Ni tidak, hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong. Malu tau Sal, malu! Kau tahu tak malu?”
    “Hey! Leya aku punya pasallah, aku nak buat apa, aku nak goda ke aku nak syok sendiri ke, aku nak bagi tubuh aku ni kat Hafis ke, kau bukan hak dia lagi.Kita bertarung tau siapa yang dapat.”
    “Bertarung konon... Murahan, perempuan murahan.”   
    “Leya! Kau jangan hina aku tau. Nanti kau tahu satu hari nanti. Kau tengoklah... Masa tu kau akan rasa seperti apa yang aku rasa sekarang ni.”
    “Apa kau nak berdendam dengan aku? Aku bukan nak bermusuh dengan kau, aku cuma nak nasihatkan kau. Jangan buat macam tu.”
    “Sudahlah... Boleh belahlah dengan nasihat kau tu... Sudah aku malaslah nak dengar mulut becok kau tu. Sudahlah.” Salihah berlalu pergi meninggalkan Leya.
    Masih Salihah ingat ketika dia melangkah meninggalkan Leya petang itu, dia pernah melepaskan beberapa perkataan yang mengugut leya.
    “Ingat Leya, kalau aku tak dapat Hafis, aku bukan Salihah. Dan kau jangan ingat kau akan dapat Hafis... Aku akan buat apa saja kalau kau berkahwin dengan Hafis.” Itulah ugutan Salihah pada Leya.
    “Dendam....Dendam aku belum terbalas. Kau perlu ingat Leya... Juga kau Hafis, kau akan tunduk dalam tangan aku nanti.” Tergelak kecil Salihah ketika itu. Hatinya memang benar-benar sakit dengan sikap Hafis dan Leya.
    “Sayang! Kenapa termenung?” Ingatan Salihah mati seketika bila Datok Foad menegurnya. Dia tersentak.
    “Em.. Tak ada apa-apa sayang. Teringat kampung. Dah lama tak balik. Tengok suasana perkampungan kat sini, Sal ingat kampung Sal.”  Jelas Salihah ketika ditanya Datok Foad.
    Kereta yang dipandu Datok Foad meluncur sedikit laju dan adakalanya perlahan kerana keadaan jalan raya yang sempit ketika berselisih dengan kenderaan lain. Salihah dan Datok Foad menyusuri jalan kampung untuk ke satu destinasi yang telah difikirkan mereka berdua tanpa gangguan dari sesiapa. Mereka akan bermalam disebuah Shelley yang telah pun ditempah awal oleh Datok Foad.
    “Sayang, nak tanya boleh?”
    “Tanyalah, banyak pun boleh.”
    “Sampai bila kita nak macam ni?”
    “Apa maksud Sal?”
    “Sayang, Sal nak kita terus bersama.”
    “Yalah... Kita terus bersamalah ni.”
    “Bukan macam ni. Dah setahun macam ni.”
    “Sal nak apa?”
    “Kita kahwin.”
    “Kahwin?”
    “Kenapa? Terkejut sebut pasal kahwin?”
    “Sal, bukan tak boleh, saya tak nak nanti kalau kita kahwin, dan kalau Datin tahu, dah tentu habis bussiness abang nanti.”
    “Kenapa mesti takut?”
    “Memanglah, sebab saham 75% milik Datin.”
    “Mana hak abang?”
    “Selepas dia mati.”
    “Berapa umur dia sekarang?”
    “45 tahun.”
    “Em... Jawapnya sampai kucing bertanduklah Sal menunggu.”
    “Sabarlah sayang.”
    “Sabar... Dah nak lunyai tubuh Sal ni abang kerjakan. Berdosa tau bang.”
    “Tahu...”
    “Tahu...Tahu... Itu saja yang abang cakap. Yang menanggung nanti Sal.”
    “Sal nak apa lagi, semua dah dapat. Rumah, kereta, duit apa lagi?”
    “Sal nak kahwin...juga.”
    “Tak boleh...”
    “Mana tak boleh... Kena juga.”
    “Sal! You reti sabar tak?”
    “Abang senanglah cakap. Nanti dah lunyai tubuh Sal ni, abang cari lain. Abang beli perempuan macam barang. Dah pakai buang kalau tak suka.”
    “Abang tak pernah janji nak kahwin dengan Sal pun dulu. Kita sama- sama relakan.”
    “Rela.... Tak semua perempuan rela jadi hamba seks lelaki bang.”
    “Kau dah dapat imbuhan. Ratus ribu. Hampir sejuta lagi. Apa yang tak cukup.”
    “Sampai hati abang menilai diri Sal macam tu sekali.” Salihah menangis teresak-esak. Kesal benar dia dengan sikap Datok Foad. Memang dia tahu yang dia dan Datok Foad tak pernah sebut pasal nak berkahwin. Cuma dia ingin mendesak agar dirinya tidak terus jadi perempuan simpanan Datok Foad. Dia dah bosan dengan keadaan hidupnya macam itu.
    Pertengkaran semakin hangat. Masing-masing tidak mahu menerima alasan. Akhirnya keputusan untuk berehat di Shelley yang ditempah dibatalkan hari itu. Datok Foad mula bosan dengan sikap Salihah. Sejak jadi perempuan simpanan Datok Foad, Salihah tidak bekerja lagi. Dia asyik terperap di rumah banglonya. Sunyi, sepi kalau Datok Foad tak datang bermalam atau siang.
    Kalau Salihah nak keluar rumah, kena beritahu dulu dengan Datok Foad. Kadang-kadang langsung tidak dibenarkan keluar rumah. Bosannya hidup Salihah diperbuat macam barang permainan. Mula-mula dulu memang seronok. Semakin lama, semakin membosankan jiwa Salihah. Kalau Datok Foad datang ke banglonya, tidak ada lain hanya tujuan untuk memuaskan nafsunya. Kadang sebulan sekali Datok Foad bertemu Salihah. Katanya outstation. Kalau dulu semasa berkerja, Salihah selalu saja dibawa kalau Datok Foad outstation.
    Pernah juga Salihah dapat mengecam keadaan Datok Foad yang sudah mula ada peremupan lain dalam hidupnya. Pernah Salihah nampak kola baju Datok Foad ada terlekat warna merah dari gincu bibir. Bila ditanya, Datok Foad kata Datin yang cium pipinya. Terlekatlah warna lipstik Datin kat kola baju. Setahu Salihah, Datin dah tak lagi nak cium pipi Datok Foad. Itupun Datok Foad yang cakap padanya. Salihah tetap tidak percaya dengan alasan yang diberikan oleh Datok Foad.
    Tetapi akhirnya perbuatan Datok Foad dapat juga dihidu oleh Salihah bila dia keluar ke dangdut tanpa memberitahu terlebih dahulu Datok Foad kemana dia hendak pergi. Kebetulan malam itu dia memang bosan setelah hampir  sebulan Datok Foad tak datang.Datok Foad hanya sms padanya yang memberitahu dia outstation.
    Sesampai saja Salihah ke dalam pusat dangdut itu dia terserempak dengan pemandu peribadi Datok Foad. Ditepuknya badan pemandu peribadi Datok Foad itu dan menegurnya.
    “Bang! kata outstation? Abang tak ikut ke Datok pergi?” Sergah Salihah pada Rahman pemandu kereta Datok Foad. Terkejut, tergamam dan kaku sejenak bila Rahman terpandang seorang perempuan menepuknya dari belakang dan perempuan itu adalah Salihah.
    “Tak.. Tak...” Tergagap mulut Rahman ketika menjawab.
    “Datok pergi mana?” Tanya Salihah lagi.
    “Australia... Australia...” ujar Rahman terangguk-angguk.
    “Jangan bohong. Sal dah telefon pejabat petang tadi. Datok tak ke Australia. Abang Rahman jangan nak selindung dengan saya.” ugut Salihah keras.
    “Ok..Ok.. Datok tu ada kat depan tu.” Ujar Rahman.
    Salihah terjengah-jengah menjenguk ke ruang hadapan dalam pusat dangdut itu. Memang betul Datok Foad ada disitu. Salihah terdiam sejenak. Dia sebenarnya pun tak dibenar keluar oleh Datok Foad. Kalau Datok Foad nampak, mungkin lain pula yang terjadi. Sudah tentu Datok Foad menuduhnya curang dibelakangnya. Tapi yang jelas Datok Foad yang curang. Apalah dayanya untuk bersemuka dengan Datok Foad ketika itu. Salihah tiada kuasa, tiada hak. Status dia pun samalah seperti perempuan-perempuan GRO yang sedang dipeluk oleh Datok Foad ketika itu. Akhirnya Salihah membuat keputusan untuk keluar dari daerah neraka itu. Salihah pulang terus ke banglo. Semalaman dia menangisi hidupnya yang sudah jauh terlanjur sesat.
    Salihah tidak ubah seperti pelacur. Sekalipun status hidupnya tidak sama kebahagian seperti pelacur jalanan yang bersepah di kaki lima meraih beberapa ringgit sahaja semalaman. Salihah pelacur kelas atasan yang menerima wang beratus ribu ringgit. itulah kelebihan perempuan simpanan.
    Sejak peristiwa itu, seminggu kemudian Datok Foad pulang menemui Salihah. Bermacam-macam hadiah dibawa oleh Datok Foad untuk Salihah. Kononnya di beli dari Australia, Switzaland dan Canada, selama dia outstation. Salihah tak berkata apa-apa. Salihah malas nak fikir pasal sikap penipu Datok Foad.
    Kalau diikutkan hati mahu saja dibunuhnya Datok Foad ketika itu. Pandai betul Datok Foad berlakon, keletihan menaiki kapal terbang selama 8 jam. Kemudian mandi dan mahu makan bersama dengan Salihah.
    “Rindulah sayang...” Kata-kata romantik Datok Foad. Salihah muak dengan kata-kata itu. Hampir RM50 ribu juga kos  hadiah yang diberikan oleh Datok Foad ketika itu. Salihah terima saja apa yang diberikan. Dia tahu apa yang Datok Foad hendak darinya ketika itu. Layanan, layanan seperti isteri dan kadang kala macam pelacur yang berlakon di adegan filem lucah. Terpaksa, semua itu atas kehendaknya yang dahulu, bukan sekarang. Kerana ingin kekayaan, kesenangan, Salihah sanggup mengadai maruahnya.
    “Bang, kita keluar makan jom.” pinta Salihah selepas saja penat memuaskan nafsu Datok Foad.
    “Tak bolehlah sayang, sejak pulang ni abang terus saja jumpa Sal. Nanti takut terserempak driver abang. Lagi satu abang dapat tahu yang Datin pergi shopping tadi.” Datok Foad mencari alasan.
    “Siapa bagi tahu?”
    “Rahman driver abang.”
    “Kata Rahman ikut abang pergi?”
    “Bukan Rahman, Rahim...Rahim..”
    “Rahim? Rahim mana pulak ni bang?”
    “Pemandu baru abang.”
    “Sejak bila ada pemandu baru ni bang?”
    “Sal mana tahu, kan lama dah Sal tak pergi pejabat.” Datok Foad mencari helah dan terus menipu. Salihah tahu apa yang sedang dicakap oleh Datok Foad semuanya bohong. Dia malas hendak bertengkar dengan Datok Foad. Apa yang penting sekarang dia dah dapat apa yang dia mahu. Sekalipun dia mengadaikan tubuhnya, dia masih dapat imbuhan yang paling lumayan.    Kedatangan Datok Foad hari itu sungguh membosankan. Salihah merasakan dirinya bagaikan dibelenggu dengan penjara walaupun berpagarkan emas. Hatinya tak pernah kasih atau menyintai Datok Foad sekalipun dia merelakan begitu puas Datok Foad meratah tubuhnya. Cintanya masih utuh untuk Hafis. Sekalipun dia berdendam terhadap Hafis, namun padanya Hafis adalah cinta pertamanya. Amat sukar untuk dia melupakan Hafis.
    Perasaan Salihah sentiasa tertekan keadaan yang melandanya ketika ini. Dia terpenjara dengan dinding-dinding gerigi dan pancang-pancang emas milik Datok Foad. Kadang kala dia rasa menyesal juga memperbodohkan diri demi kerana semata-mata keinginan untuk hidup mewah.
    “Abang bermalam disini ke?”
    “Tak, abang terpaksa pulang ke rumah. Kalau tidak nanti Datin cari-cari. Takut terbocor pulak langkah abang ni.”
    Em... Takkanlah sudah sebulan bersama Datin, semalam pun untuk Sal tak boleh?”
    “Sebulan? Mana ada, abangkan ke luar negara.”
    “Tak apalah kalau macam tu. Cuma Sal nak minta kebenaran abang.”
    “Kebenaran? Kebenaran apa?”
    “Sal nak balik kampung. Dah dua tahun tak balik kampung. Rindu dengan keluarga.”
    “Nak minta Rahman hantarkan ke?”
    “Tak payahlah, Sal nak balik lama sikit.”
    “Berapa lama?”
    “Seminggu ke... Mungkin dua minggu ke atau sebulan ke.”
    “Lama tu... Habis apa hal dengan abang.”
    “Hai... Abangkan selalu tinggakan Sal, Sekali-sekala apa salahnya kalau Sal yang tinggalkan abang lama macam tu.”
    “Oklah... bila nak balik?”
    “Esok.”
    “Esok?”
    “Emm...”
    “Oklah...”
    “Abang,  Sal nak mintak duit.”
    “Duit? Kan abang dah bagi RM20 ribu bulan lepas, dah habis ke?”
    “Itu untuk bulan lepas bang, Ala, Bolehlah bang.” Salihah merengek manja mengusap-usap dada Datok Foad. Sengaja dia meminta-minta, sengaja dia buat seperti itu, dia mahu habiskan segala wang ringgit dan kalau boleh harta Datok Foad. Alang-alang dia menyeluk pekasam, apa salahnya dia buat sampai dia jadi kaya raya. Dosa tetap dosa, nak buat macam mana, menggadai tubuh semata-mata kerana wang dan harta. Lagipun dirinya dah tak sesempurna dulu lagi. Apa yang tinggal lagi pada dirinya? Semuanya dah musnah. Nak berbangga dengan kegadisannya? Tak lagi dimimpikannya.
    Mahu tak mahu Datok Foad terpaksa juga memberi apa yang diminta oleh Salihah. Terbang lagi wangnya dari simpanan sejumlah itu. Tersenyum Salihah bila Datok Foad menandatangai cek peribadinya untuk Salihah yang tertulis jumlah RM20 ribu.
    “Sayang abang... Terima kasih sayang.” Salihah mencium pipi kedut Datok Foad. “Nak lagi ke?” Salihah mempelawa Datok Foad.
    “Dah, tak sanggup. Letih ni.”
    “Tulah, ini baru sorang, kalau simpan ramai-ramai, macam mana?”
    “Gilir-gilirlah...” Selamba je Datok Foad berseloroh. Geram juga hati Salihah bila mendengar apa yang Datok Foad cakap. Memang dasar lelaki tak cukup seorang. Tamak haloba, bernafsu haiwan. Haiwan pun tahu dan kenal masa yang sesuai untuk  mengawan. Manusia tak kenal masa, siapa dan di mana, apalagi halal dan haramnya.
    Teringat Salihah dengan Hafis. Masih terngiang-ngiang kata-kata Hafis padanya, ketika itu dia cuba menggoda Hafis.
    “Sal, jangan macam ni, kita ni bukan muhrim.  berdosa besar. Syaitan sentiasa menggoda kita Sal. Ingat Allah Sal.” Itulah yang dikatakan oleh Hafis ketika itu. Alangkah baiknya Hafis pada Salihah kerana menolak  ketika itu. Sedih sungguh  hati Salihah kalau dia ingat-ingatkan dirinya sekarang. Apa yang teristimewa sudah berlalu pergi.
    “Apa yang di menungkan itu lagi. Oklah Sal abang nak balik ni.” Ujar Datok Foad. Salihah hanya mengangguk. Sebelum melangkah keluar pintu, Datok Foad sempat juga mengucup pipi kanan Salihah. Salihah hanya berdiam diri. Datok Foad sudah pun berada dalam perut kereta BMWnya.
    Salihah mengunci pintu rumah. Kemudian masuk ke dalam bilik. Dia melontar  tubuhnya ke atas katil, berbaring menelentang. Baru tadi dia dibuai oleh Datok Foad. Lega rasanya setelah Datok Foad pergi. Dia bosan sebenarnya ketika bersama Datok Foad tadi.
    Ingatannya kini sudah mula merawang jauh ke kampung halamannya. Rasa rindunya semakin kuat. Mahu benar dia pulang ke sana. Lama benar dia tidak mengirim berita dan wang kepada ibu dan ayahnya dikampung. Apatah lagi untuk pulang ke kampung. Sudah  2 tahun dia tidak pulang.
    Air mata Salihah tiba-tiba saja melinang membasahi pipinya. Air mata itu saja yang faham tentang dirinya yang bergelumang dosa dan noda. Apalah yang dia mampu buat sekarang, semuanyaa sudah jadi bubur. Cuma satu harapannya, dia mahu benar Datok Foad mengambilnya sebagai isteri yang sah. Kalau diingat-ingatkan tentang Datin yang menjadi menghalang perkahwinannya itu, mahu rasanya dia membunuh Datin. Biarlah Datin cepat mati dan mudahlah dia memaksa Datok Foad mengahwininya.
    Padanya, Datok Foad yang pertama dalam dirinya. Selama itu juga dia belum pernah melakukan kerja terkutuk itu dengan lelaki lain. Jadi pada fikirannya mengapa Datok Foad perlu menolaknya bila dia mahu  Datok Foad mengambil dia sebagai isteri yang sah.
    “Entahlah, sampai bila agaknya. Mungkin sampai mati aku hidup bergelumang dengan dosa agaknya.” Fikir beku benak Salihah.


No comments: