BERSAMA SAYA SUTERA KASIH,DALAM RUANGAN DUNIAKU CERITAKU

followers

Wednesday 13 April 2011

Bab 3: Bila Cinta Jadi Rebutan

Photobucket
AIR MATA SEMALAM
 oleh: suteraungu

BAB3

Bila Cinta Jadi Rebutan

Takkan terlambat kalau Salihah juga mencintai Hafis. Begitulah sejarah cinta Hafis ketika dibangku sekolah. Dalam diam Hafis merupakan idola beberapa gadis sekolah dengannya dulu. Sudah lazim kalau ada cinta terpendam admire. Menyintai seseorang dalam diam. Bukan senang untuk meluahkan perasaan cinta terhadap orang yang dicintai. Memendam perasaan sudah tentu, malah tidak mustahil boleh menderita, merana, sakit hati  kerana cemburu.
    Inilah cinta anak-anak sekolah. Cinta datang sendiri dan ianya adalah perasaan yang sukar untuk dinyatakan. Lahir dari naluri yang akhirnya menusuk kalbu.
    “ Lihah, nak ke mana kau tergesa-gesa tu?”
    “Aku nak ke sekolah.”
    “Ai!!! Kan petang ni takde aktiviti untuk bola jaring?”
    “Em... Aku..Aku ada janji.”
    “Dengan siapa?”
    “Err... Emm... Dengan... Dengan Intan.”
    “Intan? Setahu aku dia ke bandar dengan Yusri petang ni. Baru saja aku jumpa tadi.”
    “Yer ke? Eh... Emm... Tak pelah, Leya aku kena tunggu juga kat sekolah.” Tergesa-gesa  langkah Salihah meninggalkan Leya yang termangu-mangu kehairanan dengan sikap sahabatnya itu. Kebetulan  saja petang itu mereka berdua terserempak di kedai Haji Moin. Waktu itu Leya ke kedai Haji Moin kerana hendak membeli gula dan kopi yang disuruh oleh ibunya. Terangkat bahu kiri Leya bila melihat perangai sahabatnya itu.
    Antara Leya dan Salihah, mereka memang sahabat baik sejak dari sekolah rendah. Malah rumah pun berdekatan. Setahu Leya kalau Salihah hendak ke sekolah atau hendak ke mana pun dia tak pernah  mengecualikan Leya. Leyalah temannya ke mana sekali pun. Peliknya petang itu Salihah tak langsung mengajak Leya.
    “Pelik....” Fikir hati kecil Leya.  Leya melangkah pulang ke rumah setelah apa yang hendak dibelinya sudah ada ditangan.
    Sebenarnya petang itu di sekolah menengah  tempat Leya dan Salihah bersekolah ada latihan sepak takraw pelajar-pelajar lelaki. Kebetulan Hafis juga bersekolah yang sama dengan mereka berdua, salah seorang pemain pilihan sekolah untuk mewakili daerah. Setiap petang Rabu,  Hafis dengan beberapa lagi pelajar tingkatan lima akan mengadakan latihan.
    Petang itu tidak ada latihan bola jaring untuk pelajar perempuan. Salihah juga merupakan pelajar yang terpilih mewakili sekolahnya untuk ke pertandingan bola jaring Majlis Sukan Daerah. Leya memang tidak aktif dalam apa juga jenis sukan. Namun begitu  dia terpaksa juga menyertai beberapa acara kerana wajib bagi menganggotai rumah pasukan. Jika tidak, sudah pasti dia akan didenda oleh guru pasukan rumah sukan yang dia terlibat.
    Jam lima petang sudah berhimpun pelajar-pelajar pemain takraw di gelanggang. Hafis tidak terkecuali. Ada taklimat dari pelatih. Setengah jam yang lalu Salihah sudah pun sampai ke sekolahnya. Dia terintai-intai dari celah cermin kaca ke dalam dewan yang menempatkan gelanggang sepak takraw.
    Tersenyum dia ketika itu. Senyum  kerana dia merasa puas. Puas dek dapat mengintai kekasih hatinya. Kekasih yang tidak pernah terbalas cintanya. Bukan kerana dia tidak diterima sebaliknya dia belum pun mencurahkan rasa cintanya pada jejaka pujaannya itu. Inilah cinta dalam diam. Cinta tanpa sebarang jawapan.Tak lepas matanya memandang  ke dalam dewan memerhatikan gelagat jejaka pujaannya itu.
    Sebenarnya dia ada niat tertentu pada petang itu. Hajat hatinya ingin bertemu jejaka pujaannya itu. Sudah bulat tekad hatinya yang petang itu dia akan berhadapan dengan jejaka itu. Debaran didadanya semakin bergoncang, seperti mahu tercabut jantungnya.
    Salihah sebenarnya malu hendak berhadapan dengan jejaka itu. Tetapi sudah dua tahun dia memendam rasa. Tidak tertanggung lagi perasaannya memendam begitu. Dia harus meluahkannya sekalipun dia terpaksa menanggung malu yang teramat. Petang itu Salihah tidak seperti selalu gaya pakaiannya. Dia bersolek yang keterlaluan, konon fikir hatinya biarlah dirinya agar dilihat lebih menawan berbanding dengan  gaya kebiasaannya ke sekolah.
    Habis lipstik, celak dan bedak milik ibunya digunakannya. Merah sana, merah sini, tercoreng sana  tercoreng sini wajahnya dicalit dengan pewarna pipi dan celak. Salihah rasa petang itu dia memang cantik dan sudah tentu pada fikirannya jejaka idamannya akan terpikat dengan gayanya itu. Salihah mengenakan pakaian seluar jeans biru dan T-shirt merah bertudung putih. Dia tahu jejaka idamannya memang minat warna merah.  Petang itu dia ingin berjalan pulang ke rumah bersama jejaka itu. Kalau jejaka itu bermotosikal petang itu, dia pasti jejaka itu akan menawarkannya untuk membonceng bersama. Wah! Tentunya romantis ketika itu, fikir hati Salihah.
    Salihah masih lagi intai-intai dari celah kaca cermin tingkap dewan. Dia nampak jelas jejaka idamannya itu.Semakin melebar senyumannya.
    “Lihah... Apa kau buat kat sini terhendap-hendap ni?”
    Tiba-tiba saja Salihah terkejut bila dia ditegur dan bahunya juga ditepuk oleh seseorang.
    “Eh! aku... aku... Eh! kau Mira...Em...”
    “Kenapa? Ada apa kau mengintai kat sini? Aaaa..... Mengintai buah hati kot?” Usik Mira dengan senyum.
    “Tak...Tak... Aku...Aku..”
    “Apanya... Cakap ajelah kau tengah mengintai Si Melan kottt....”
    “Taklah..Eeeee... Geli aku bila kau sebut nama si Melan tu. Tak selera aku tau..”
    “Abisss.... siapa? Husin? Malik, Jalil, Kasim atau...” Tak disebut pula Mira nama Hafis. Salihah faham nama siapa yang hendak disebutkan oleh Mira.
    “Taklah... Aku tengok dia orang tu berlatih. Tak ada apa-apa pun.” Cepat-cepat Salihah memintas kata-kata Mira.
    “Salihah... Kau jangan tipu aku. Jangan tipu diri kau juga... Aku tahulah siapa admire kau tu...”
    “Siapa? Tak adalah...” Gusar juga hati Salihah  bila Mira cuba memerangkapnya.
    “Hafis kan?” Semudah itu lidah Mira meneka. Bagaikan terjerut leher Salihah bila mendengar nama Hafis terlontar dari mulut Mira. Tergamam sejenak dia.
    “Tak... Taklah... Tak.”  Cepat-cepat Salihah menafikannya sekalipun tekaan Mira itu memang tepat.
    ‘Jangan berdusta...”
    “Kalau yer kenapa pulak?” Bila Salihah terasa dirinyanya terperangkap, mahu tidak mahu dia memberanikan diri mengakui kebenaran.
    Berkali-kali Mira mengeleng kepala bila didengarnya kata-kata yang terlontar dari mulut Salihah.
    “Salihah.... Kau ni silap tempatlah... Kau tak tahu ke yang Hafis tu buah hati Leya. Leya sahabat karib kau tu..” Mira cuba menasihati Salihah.
    “Kau ni merepeklah... Aku tak nampak pun mereka tu macam kekasih.” Terkejut beruk Salihah dengan penjelasan Mira. Serentak itu hatinya tidak dapat menerima apa yang diceritakan oleh Mira tentang Leya sahabat karibnya merupakan kekasih Hafis. Selama ini dia tidak pernah nampak Hafis dan Leya berdua-duaan. Salihah tidak percaya dengan apa yang Mira katakan selagi dia tidak nampak dengan mata dan kepalanya.
    “Ah! Mira sengaja nak kacau daun je. Dengkilah tu..” Fikir benak bodohnya. “ Aku tak percayalah...” Hati Salihah cuba menafikan.
    “Kenapa kau diam Lihah?”
    Salihah mengangkat bahu kanannya. “Tak ada apa-apalah. Eh... Yang kau ni ada kat sini, kenapa pulak?”
    “Aku ke mari dengan Cikgu Kusaini, dia jemput aku petang tadi. Aku ada projek yang belum selesai dengan cikgu Kusaini.” Jelas Mira. “Okeylah kau teruskan mengendap jantung hati kau tu, aku nak ke bilik makmal photo ni. Bye...” Beritahu Mira, kemudian berlalu meninggalkan Salihah yang masih terbelenggu perasaan bengangnya terhadap Mira dan juga dengan cerita yang baru dia dengar dari mulut Mira tentang Leya dan Hafis.
    Selang beberapa minit setelah bayang Mira tidak nampak dek mata Salihah, Salihah  mengintai semula dari celah-celah cermin tingkap ke dalam dewan. Di situ latihan sepak takraw sedang diadakan. Memang hebat pemain-pemain sekolahnya itu ketika melakukan latihan. Juga tidak ketinggalan kehebatan Hafis dalam permainannya.Siapa tidak kenal Hafis killer dalam pasukannya. Tanpa Hafis maka sudah tentu pasukan takraw sekolahnya tidak digeruni oleh sekolah-sekolah lain di daerahnya. Sudah dua tahun sekolahnya juara. Tahun ini adalah tahun akhir Hafis mewakili sekolahnya. Tahun depan hanya namanya saja yang tinggal tercatat di rekod sekolah.
    Senyum Salihah semakin galak bagaikan senyum kambing biri-biri yang dapat rumput muda. Suka benar hatinya bila terpandang jejaka yang menjadi pujaannya beraksi di gelanggang.
    “Hebatnya... Kalau dia jadi kekasih aku, lagi hebatkan?” Desus hati kecilnya. Terbayang Salihah betapa bangganya dia bercinta dengan jejaka itu, bila diketahui oleh semua pelajar perempuan sekolahnya nanti. Semakin mendadalah langkah Salihah menonjolkan dadanya yang membukit itu.
    “Oi! kawan buat apa kau terhendap-hendap tu lagi. Masuk jelah ke dalam. Tengok puas-puas buah hati pengarang jantung kau tu.” Sekali lagi Salihah dikejutkan dengan suara serak-serak basah Mira yang melintasi semula kaki lima dewan.
    “Engkau lagi...” Marah geram Salihah bila ditegur sebegitu.
    “Aku bukan nak kacau kau, aku nak ke tandas ni.” Sebenarnya sudah setengah jam Salihah asyik terhendap-hendap di tingkap dewan.
    “Masuk jelah... Nanti kalau kau terserempak dengan mana-mana cikgu yang lalu kat sini, lagi malu kau. Ini baru aku.” Nasihat Mira pada Salihah.
    “Aku malulah...” Tergaru-garu jari Salihah ke kepalanya yang bertudung.
    “Nak malu apa, tu kau tengok tu, Eton pun ada, Manisah pun ada. Masuk jelah..”
    “Eh! Dia orang tu buat apa kat dalam tu aaa?”
    “Dia orang tu ada buah hati juga, tak macam engkau ni terhendap-hendap. Dahlah... Malas aku nak melayan kau. Aku nak ke tandas ni, nanti terkencing pulak aku kat sini, asyik melayan kau ni.” Mira berlalu  laju meninggalkan Salihah sendirian. Salihah memandang langkah Mira yang pergi meninggalkannya.
    “Betul juga kata si Mira tu.” Terfikir juga benak bodoh Salihah. Lantas dia berjalan menuju ke pintu masuk dewan. Mula-mula dia merasa malu untuk mendekati Eton dan beberapa pelajar perempuan yang dia kenal berada di situ. Mahu tidak mahu dia memaksakan dirinya untuk mendekati mereka.
    “Eh! kau Salihah... Tak pernah aku tengok kau datang ke dewan selama ni tengok budak-budak lelaki main takraw?” Tanya Eton, bila saja Salihah mendekatinya.
    “Em.. Aku ada projek tadi dengan... Dengan Mira. Jadi dah tak buat apa-apa ni, aku nak tengok budak-budak tu main.” Kebetulan otak penipu Salihah berjaya menghasilkan satu jawapan yang dapat menyembunyikan maksud sebenar apa yang tersirat dihatinya tujuan dia ke situ petang itu.
    “Ooo...eh! Tadi aku jumpa Mira, tak pun dia kata kau ada bersama.” Manisah mencelah. Berdegup jantung Salihah bila dia mendengar kata-kata Manisah itu. Dia terperangkap seketika.
    “Ooo.. Masa kau jumpa Mira tu, aku belum sampai. Baru je aku sampai.” Dapat juga dia mencari alasan yang agak logik untuk menipu lagi. Mujurlah ada syaitan yang pandai memberikannya jawapan. Kalau tidak mahu dia tergagap hendak menjawab. Tersenyum dia memandang wajah teman-temannya yang dapat ditipunya itu. Tidak pun dihiraukan oleh Eton, mahupun Manisah tentang kehadiran Salihah.
    “Duduklah, buat apa tercegat macam pak pacak tu Salihah.” Entah macam mana setelah beberapa minit berdiri dan sudah kematu tumit Salilah berdiri, barulah dia terdengar ada suara mengundangnya duduk. Manisah mengesot sedikit punggungnya untuk membenarkan Salihah duduk.
    Hafis dan beberapa orang kawan dari kumpulannya baru saja berhenti berlatih. Hafis terpandang Salihah. Dia melemparkan senyuman kepada Salihah. Tergamam Salihah bila menerima senyuman dari Hafis. Berdegup jantungnya seolah-olah dia tidak percaya yang senyum itu adalah dari Hafis. Hafis yang sedang mengesat peluhnya dengan tuala menghampiri Salihah. Ketika itu juga semakin berderau perasaan Salihah.Darah gemuruh Salihah memuncak. Eton, Manisah dan beberapa orang pelajar perempuan yang ada di situ tidak pun menghiraukan gelagat Salihah. Hanya Salihah saja yang serba tidak kena ketika itu.
    “Sorang je....” Tegur Hafis, bila menghampiri Salihah.
    “Emmm....yee..” Gugup Salihah ketika ditegur Hafis.
    “Mana....si...” Tak kesampaian Hafis hendak meneruskan katanya.
    “Siapa?” Secepat itu Salihah bertanya.
    “Leya...” Tiba-tiba saja Salihah bagaikan meletup dadanya bila Hafis menyebut nama Leya.
    “O! Aaa.. Emm...Yer... Leya kirim salam. Dia tak nak ikut tadi. Dah ajak pun.” Serba tak kena Salihah memberi jawapan.
    “Dia tak ikut? Awak ajak dia?” Tanya Hafis hairan.
    “Emm... Yee..”
    “Eh... Setahu saya memang dia tak nak ke sekolah petang ni. Saya dah ajak dia tadi.” Jelas Hafis. Semakin berdegup jantung Salihah bila mendengar penjelasan Hafis. Kali ini bukan meletup macam mercun, tapi dah jadi bara yang memakan dirinya. Merah padam muka Salihah bila Hafis berkata begitu. Semakin serba tidak kena gaya Salihah bila berhadapan dengan Hafis ketika itu.
    “Apa kena dengan awak ni Lihah?” Tanya Hafis kehairanan. “Serba tak kena je gelagat awak.Tergaru sana tergaru sini.” Memang pun Salihah macam kena sakit gatal-gatal seluruh tubuh, tergaru-garu walaupun tubuhnya tidak rasa gatal.
    “Tak ada apa-apalah..”
    “Saya pelik tengok awak?”
    “Yer.. Tak ada apa-apa pun...” Sengaja Salihah menenangkan perasaan cemburunya dengan melemparkan senyuman tawar selamba pada Hafis. Cemburu benar dia bila Hafis menyebut nama Leya sahabatnya.
    “Awak nak balik?” Tiba-tiba bagaikan bom meletup terkejut Salihah mendengar Hafis bertanya padanya.
    “Emm... Yee...”
    “Jom...”
    “Jom....Jom?”
    “Aahah... Jomlah... Kenapa? Tak mahu balik dengan saya?” Ujar Hafis
    “Jomlah.... “ sambut Salihah dengan rasa terkejut  bila dipelawa oleh Hafis untuk pulang bersama, Salihah bangun  dari duduknya berjalan menuju keluar dari dewan beriringan dengan Hafis.
    “Eton, Manisah, aku pulang dulu ye.” Beritahu Salihah. Eton dan Manisah serta beberapa pelajar perempuan yang masih duduk di situ ketika itu hanya memerhati saja gelagat Salihah.
    Eton melemparkan senyuman. “Eh! dah nak balik pulak?” Tanya Eton.
    “Yelah Salihah, kejap benar?” Manisah menyampuk.
    “Hafis dah ajak balik sama-sama.” Ujar Salihah. Perangai Salihah ketika itu bagaikan si kodong dapat cincin. “Bye!!!” Salihah melambaikan tangan. Salihah beriringan dengan Hafis. Diperhatinya ke sekitar kawasan sekolah kalau-kalau ada mana-mana pelajar perempuan yang mengenali dia ketika itu. Bukan kerana dia malu, tetapi dia bangga kalau sesiapa melihatnya ketika itu. sedang berjalan seiringan dengan Hafis.
    “Eeee! Gediknya dia tu, menyampah” Sempat juga Manisah mengumpat perangai Salihah yang agak terkinja-kinja bila berjalan seiringan dengan Hafis.
    “Apalah kau ni, tak baik mengumpat tau. Tengok macam aku ni, buat tak tahu je. Lantak dialah.” Sampuk Eton. “Tapikan... Yelah memang gedik pun. Kalau nampak si Leya, dah tentu Leya bengang punyakan Sah?” Tergelak kasar Manisah bila Eton turut mengumpat. Kononnya tak mahu Eton mengumpat pasal Salihah, tapi sempat juga dia melontarkan kata-kata menyampahnya terhadap perangai Salihah.
    Hafis dan Salihah sudah jauh dari dewan berjalan menuju ke garaj tempat letak motosikal dan basikal.
    “Awak datang dengan apa?”
    “Aaa! Datang dengan apa?” Salihah pura-pura tidak faham dengan pertanyaan Hafis.
    “Emm..Saya tanya tadi awak ke mari naik apa? Basikal ke atau bas?”
    “Saya naik bas..”
    “Nak balik ni naik baslah yer?” Tanya Hafis.
    “Emmm...Bas...” Salihah terpaksa mengiyakan pertanyaan Hafis, sekalipun niat sebenar hatinya ingin membonceng motorsikal Hafis.
    “Tak nak tumpang saya?”
    “Tumpang?” Berderau jantung Salihah bila Hafis mempelawanya membonceng.
    “Ya. Tumpang sayalah.” Ajak Hafis lagi.
    “Boleh ke?” Melonjak hati Salihah suka bila dipelawa oleh Hafis menumpangnya. Dia pasti Hafis akan memboncengkannya pulang bersama ke rumah. Dia pasti Hafis akan menghantarnya sampai ke rumah sekalipun mereka tidak tinggal sekampung, dan dia bangga sangat kalau ketika Hafis memboncengkannya dilihat oleh Leya.
    Hafis menyarung helmet ke kepalanya. Kemudian dia memberikan satu lagi helmet untuk dipakai oleh Salihah. Salihah menyarung helmet itu ke kepalanya. Kebetulan petang itu Hafis membawa sebiji lagi helmet. Tujuannya kalau-kalau Leya ikut, helmet itu sudah tentu untuk dipakai oleh Leya.
    “Kali ini Leya tahu yang aku dan Hafis adalah pasangan kekasih. Aku pasti Leya bukan yang Hafis suka seperti yang dikatakan oleh Mira petang tadi, Hafis dan Leya adalah sepasang kekasih.” Berjela-jela benak Salihah bercakap sendirian. Hafis sudahpun menghidupkan enjin motorsikalnya.
    “Naiklah...”
    “Naik?” Sambut Salihah macam tidak percaya apa yang akan dia lalui itu. Macam bermimpi rasa Salihah ketika itu.
    “Aaa..Naiklah tunggu apa lagi.”
    Secepat itu juga Salihah memijak padel tempat letak kaki dan duduk membonceng. Ketika itu sempat juga tangannya memaut bahu Hafis. Hafis tahu kenapa Salihah sanggup menumpang dia dan tidak segan silu pulak perangainya ketika itu.
    Hafis dapat rasakan yang Salihah ke dewan tanpa bersama Leya petang itu dengan niat untuk bertemu dengannya. Hafis tak pernah berniat tidak setia terhadap Leya. Niatnya menumpangkan Salihah petang itu semata-mata dia menganggap Salihah itu sahabat Leya dan tidak lebih dari itu dia manganggap Salihah macam sahabatnya juga.Sepanjang menunggang motosikal, Hafis dan Salihah tidak berbual.
    Sudah hampir Hafis dan Salihah ke simpang masuk ke kampungnya. Juga sudah menghampiri warung Salih yang menjadi tempat Hafis berlonggok dengan kawan-kawannya setiap petang atau malam kalau dia tiada aktiviti  sekolah atau kalau dia sudah bosan mengulang kaji pelajarannya.
    “Bang Hafis... Kita singgah warung nak.” Entah macam mana terlontar bahasa ‘bang’ dari mulut Salihah ketika itu. Namun tidak pula terkejut oleh Hafis.
    Hafis  membelok masuk ke kawasan warung Salih. Memberhentikan motosikalnya. Menunggu Salihah turun dari tempat duduk motosikalnya. Dengan bangganya Salihah turun sambil memaut bahu Hafis. Gelagat Hafis dan Salihah secara langsung diperhatikan oleh beberapa orang penduduk kampung yang berada di warung Salih ketika itu. Salih tidak terkecuali juga turut memandang. Hafis menongkat motosikalnya. Kemudian, mematikan enjin. Menanngal  helmet. Salihah tidak menanggalkan helmet dikepalanya.Hafis dan Salihah berjalan masuk ke dalam warung.
    “Assalammualaikum.” Hafis memberi salam kepada beberapa orang penduduk kampung yang sedang seronok bersembang sambil menikmati minuman petang. Salam Hafis disambut oleh mereka. Kemudian Hafis mengambil tempat duduk berdekatan dengan tempat Salih membuat air.
    “Bang! Kopi panas satu.” Pesan Hafis. Salih tersenyum. Ketika itu juga Salihah dengan tidak segan silunya duduk semeja dengan Hafis berhadapan. Salih datang menghampiri Hafis dan Salihah.
    “Amboi mak! Berdua-duaan menunggang motosikal kau, ye Hafis!” Usik Salih. Hafis tersenyum. Juga Salihah senyum bangga.
    “Kebetulan saya baru balik berlatih sepak takraw kat sekolah tadi. Lihah pulak ada kokurikulum.” Beritahu Hafis.
    “Salihah kau nak minum apa pulak?” Tanya  Salih, memandang tepat ke wajah Salihah. “ Cun juga si Salihah ni.” Bisik hati nakal Salih ketika itu.
    “Saya nak oren.” Jawab Salihah. “ Tak mahu ais.” Sambungnya lagi. Salih melemparkan senyuman.
    “Selalu kau dengan Leya. Mana Leya? Tak ikut ke petang ni?” Tanya Salih. Tiba-tiba saja jantung Salihah bagaikan dipanah petir. Hangat membara cemburunya, meluap-luap ketika itu.
    “Saya dah ajak dia petang tadi. Katanya dia ada kerja nak buat. Nak tolong mak dia buat kuih.” Jelas Hafis. Bila mendengar kata-kata Hafis itu, semakin hangat membara cemburu yang membakar di dada Salihah.
    “Aku buat air kau dululah yer.” Salih meminta diri. Hafis mengangguk.
    “Bang!” Entah kenapa secara tiba-tiba Salihah memanggil Hafis.
    “Ada apa Lihah?”
    “Abang dengan Leya....”
    “Kenapa dengan Leya?”
    “Abang dengan Leya ada apa-apa ke?” Salihah memberanikan diri untuk bertanya sesuatu yang tak sepatutnya dia tanya ketika itu. Namun dek kerana cemburunya meluap-luap, maka terpaksa juga dia bertanya.
    “Kenapa Lihah tanya soalan seperti itu?”
    “Kenapa? Tak boleh?”
    “Taklah... Kita ni semua kawan. Malah sahabat baik semuanya. Leya itu sahabat Lihah.”
    “Oleh kerana sahabat baiklah maka Lihah nak tanya ni.” Sebenarnya dia bukan saja cemburu, malah sakit hati kalau Leya jadi kekasih Hafis. Dialah yang sepatutnya jadi kekasih Hafis, bukan Leya. Fikir dengki hati Salihah. Anggapan Salihah, dia telah lebih dahulu menaruh harapan pada Hafis, bukannya Leya. Leya pun tak pernah cerita yang dia dan Hafis adalah pasangan kekasih.
    “Dah tu kenapa nak tanya.”
    “Lihah tak nak nanti Leya cemburu bila dapat tahu abang dengan Lihah keluar sama, naik motor sama-sama.” Bukan itu yang sebenarnya yang mahu Salihah perkatakan.Mulutnya kata lain, hatinya pula berniat lain.Salihah sebenarnya mahu tahu tentang apakah hubungan antara Hafis dengan Leya.
    “Leya tak cakap dengan Lihah?”
    “Cakap apa?”
    “Cakap apa-apa tentang abang.”
    “Tak pun.. Kenapa?”
    “Tak ada apa-apa.” Dalam hati Hafis dia amat bersyukur kerana Leya tidak membuka rahsia percintaannya berdua. Lantas Hafis juga tidak akan berbuat seperti itu. Biarlah percintaan mereka menjadi satu rahsia.
    “Leya tak cintakan abang ke?” Terlontar pertanyaan yang sudah diduga oleh Hafis.Hafis tahu apa yang perlu dia jawab jika ditanya seperti itu.
    “Entah... Tak tahulah. Kita kawan je. Lagipun kita ni masih sekolah. Pelajaran tu penting buat kita.” Selamba Hafis menjawab. Sakit hati juga Salihah bila menerima jawapan yang tidak menepati kehendaknya.
    “Abang...”
    “Ada apa Lihah?”
    Mahu saja Salihah berterus terang dengan Hafis yang dia mencintai Hafis sejak dari dulu lagi. Cintanya yang dipendamkan dek kerana dia malu untuk berterus terang. Baginya sudah sampai masa untuknya berterus terang sekarang.
    “Hafis, Lihah, ni kopi dan oren....” Seketika itu juga Salih menghampiri Hafis dan Salihah membawa minuman. “Kau berdua bersembanglah ya.Abang tak mahu kacau daun.” Usik Salih sambil tersenyum lebar. Salihah dan Hafis turut tersenyum.
    “Terima kasih bang. Ala... Sembang pasal pelajaran je. Bukan ada apa-apa.” Sambut Hafis.         “Ialah kalau pun pasal pelajaran, abang bukannya sekolah nak masuk campur bersembang.” Sambut Salih, kemudian berlalu meninggalkan Hafis dan Salihah. Hafis menghirup perlahan kopi panas yang baru saja dihidangkan oleh Salih. Salihah diam membisu. Sedang berfikir untuk memulakan cerita. Cerita yang perlu disampaikan pada Hafis. Baginya petang kesempatan yang ada. Satu masa yang memberikannya laluan peluang untuk berterus terang pada Hafis tentang hatinya.
    “Lihah, minumlah, kenapa mengelamun.” Tegur Hafis bila terpandang Salihah seperti sedang mengelamun jauh. Salihah tersentak kecil, senyum memandang tepat wajah Hafis. Kemudian mencapai gelas yang berisi air oren. Diteguknya beberapa kali. Kemudian meletaknya semula di atas meja. Dia kembali diam serba salah.
    “Em... Lihah tadi kata ada benda nak cakap. Cakaplah.” Tanya Hafis memulakan perbualan setelah  terganggu seketika ketika Salih menghantar minuman tadi. Salihah tunduk, matanya memandang meja yang beralaskan pengalas meja yang diperbuat daripada plastik berwarna biru.Kemudian dia memberanikan diri menatap tepat ke mata Hafis. Agak lama dia merenung wajah Hafis. Hafis turut merenung mata Salihah.
    “Lihah, kenapa renung abang macam tu?” Tegur Hafis. Salihah tunduk. Kemudian bersuara.
    “Abang....Sebenarnya....” Kata-katanya tersekat tidak kesampaian untuk meneruskannya. Mahu Salihah berterus terang ketika itu, tapi dia gugup.
    “Sebenarnya apa Lihah?”
    “Abang, dah lama perkara ini nak Lihah cakap dengan abang tapi, Lihah malulah.” Salihah memberanikan diri.
    “Cakap ajelah, kenapa nak malu.” Gesa Hafis. “ Tentang pelajaran ke yang Lihah nak cakap ni?” Hafis meneka. Salihah mengeleng.
    “Habis tu tentang apa?” Tanya Hafis mencari penjelasan.
    “Abang, Lihah tak mahu nanti setelah apa yang Lihah cakap, akhirnya membuat Lihah yang susah dan memalukan diri Lihah sendiri.”
    “Kenapa pulak, cakap jelah, abang sedia mendengarnya.”
    “Abang, sebenarnya...” Salihah terdiam lagi. Gugup. Serba salah dan macam-macam lagi yang membendung perasaannya.
    “Sebenarnya apa Lihah? Cakaplah.”
    “Abang, Lihah sukakan abang.”
    “Oo...” Hafis tergelak kecil.
    “Kenapa abang tergelak pulak?”
    “Tak ada apa-apa. Biasalah tu, semua orang sukakan abang.”
    “Maksud abang?” Agak keliru Salihah dengan apa yang dikatakan oleh Hafis.
    “Betulah, semua orang kat sekolah kita tu sukakan abang, cikgu pun suka kat abang, orang kampung ni pun sukakan abang.”
    “Bukan suka macam itulah...”
    “Abis suka macam mana?”
    “Lihah.... Cinnn....takan abang.”
    “Cinta?” Terkejut Hafis bila Salihah meyebut perkataan cinta. Tersembur dari mulutnya sedikit air kopi yang baru dihirupnya. Memang Hafis terkejut dengan apa yang Salihah katakan padanya ketika itu. Sekalipun dia dapat mengagak yang Salihah memang ada menaruh hati padanya.Tetapi yang membuat Hafis terkejut ialah kerana beraninya Salihah berterus terang padanya.
    “Kenapa bang? Salahkah Lihah berterus terang tentang perasaan Lihah?”
    “Tak... Tak jadi salah.”
    “Habis tu, kenapa abang macam terperanjat tadi?”
    “Macam ni, abang sebenarnya anggap semua orang ni macam kawan. Kita ni masih sekolah. Cinta niiii.....Susah nak cakap. Abang belum bersedia dengan cinta.” Jelas Hafis agak tegas. Serentak itu terluka benar hati Salihah. Hampa benar dia petang itu. Malunya muka dia dengan Hafis. Tidak disangkakannya Hafis sanggup menolak cintanya.
    “Lihah, macam nilah. Adalah lebih baik Lihah fikirkan tentang SPM yang tak lama lagi. Cinta itu akan datang sendiri. Kalau abang tak cintakan Lihah, janganlah Lihah anggap abang ni sombong atau apa-apa pun. Abang belum bersedia.” Hafis cuba memujuk dan memberikan kata-kata perangsang pada Salihah supaya Salihah tidak kecewa dengan apa yang telah dia katakan.
    “Hubungan abang dengan Leya macam mana?” Spontan Salihah bertanya tentang hubungan Leya dan Hafis. Tergamam seketika Hafis bila Salihah mengajukan pertanyaan itu. Namum Hafis ada jawapan yang sesuai dan boleh melegakan hati dan perasaan Salihah.
    “Macam nilah, Lihah balik, buat bertenang. Renungkan masa depan yang masih panjang dan jauh untuk kita tujui. Kemudian Lihah belajar sungguh-sungguh hingga Lihah berjaya. Disuatu ketika nanti mungkin kita ni ada jodoh dan cinta Lihah tu kalau ada restu Allah, mungkin kita ada peluang kedua.” Nasihat Hafis pada Salihah.
    “Peluang kedua? Apa maksud abang?” Salihah hairan.
    “Maksud abang, peluang kedua tu, macam ni, sekarang Lihah beritahu abang yang Lihah menyintai abang, abang belum bersedia. Manalah tahu satu hari nanti abang sudah bersedia dan kebetulan ada rasa cinta terhadap Lihah, maka kita bersamalah. Kan jodoh ditangan Tuhan. Dia yang menentukan segala-galanya.” Jelas Hafis.
    “Bagimana dengan Leya?” Salihah masih belum puas hati dengan apa yang Hafis katakan. Dia mendesak untuk mengetahui apakah hubungan sebenar antara Leya dan Hafis.
    “Leya? Lihah tanya dia nanti bagaimana hubungan kami berdua.”
    “Lihah tahu...” Salihah menduga.
    “Apa yang Lihah tahu?”
    “Abang cintakan Leyakan? Abang tak cintakan Lihahkan?” Tiba-tiba saja air mata Salihah mengalir ke pipi. Tergamam ketika itu Hafis bila melihat  Salihah menangis. Terharu benar dia ketika itu. Kasihan dia dengan Salihah. Namun dia tidak boleh mendustai hatinya yang telah mencintai Leya. Sudah tiga tahun cinta Hafis dan Leya bersemi. Selama itulah cinta itu terlalu rahsia tanpa diketahui sesiapa pun. Tiba-tiba muncul Salihah. Tak terdaya Hafis untuk menghalang cinta Salihah meskipun hatinya tidak pernah  menerima cinta Salihah malah mengenali sepenuhnya tentang hati Salihah.
    “Lihah, macam nilah biar abang jelaskan. Cinta itu adalah lahir dari seninya hati dan perasaan seorang insan dengan seorang insan yang lain. Bukan boleh dipaksa. Antara abang dengan Lihah, abang tak pernah ada perasaan apa-apa. Bila Lihah nyatakan perasaan Lihah petang ni, barulah abang tahu yang Lihah menyintai abang. Kalaulah dulu lagi Lihah nyatakan, mungkin juga abang dapat terima Lihah.” Pujuk Hafis.
    “Maknanya sekarang ni, Lihah tak ada peluang untuk bertakhta di hati abang? Abang ada Leya bukan?” Salihah mendesak lagi. Dia ingin tahu sebenar-benarnya hubungan Leya dan Hafis.Salihah masih tidak puas hati selagi Hafis tidak menjelaskan perkara sebenar.
    “Lihah, abang dengan Leya dah lama berkawan. Malah selama itulah kami rapat. Tapi kami tak pernah tunjukkan perasaan kami. Kami memang ada rasa cinta. Tapi belum ada kesempatan untuk kami luahkan. Abang tahu, Leya menyintai abang dan yang jelasnya abang sendiri menyintai Leya. Jadi Lihah janganlah merasa kecil hati dan kecewa dengan apa yang abang katakan ini.” Sebaik mungkin Hafis ingin memujuk hati Lihah.
    “Takpelah bang, siapalah Lihah dihati abangkan?” Air mata Salihah semakin berlinang. Tak dapat ditahannya. Berkali-kali dikesatnya air mata yang mengalir kepipi gebunya itu dengan jari jemarinya. Kecewa benar hatinya. Bukan itu saja, malah malunya dia pada Hafis teramat sangat. Ingin saja dia lari ketika itu. Tapi dia serba salah kerana kalau dia lari meninggalkan Hafis, sudah tentu orang kampung dan Salih  yang ada di situ melihat gelagatnya. Maka dibatalkan saja niatnya untuk meninggalkan Hafis.
    “Bang, Lihah nak pulang.”
    “Abang hantarkan ye?”
    “Takpe, Lihah jalan kaki.” Jelas Salihah. Dikesatnya lagi air mata yang mengalir. Sebak benar kalbunya. Dia bangun dari duduknya berlalu meninggalkan Hafis.
    “Lihah! Lihah! nanti dulu. Biar abang hantar Lihah pulang.” Hafis bangun segera mendapatkan Lihah. Namun langkah Salihah begitu cepat pergi. Hafis membiarkan saja Salihah pergi.
    “Kenapa Hafis dengan si Lihah tu?” Salih mencelah kehairanan.
    “Entahlah.. Hati perempuan. Tak faham saya bang.” Ujar Hafis, duduk. Baki air kopi yang masih ada di cawan dihirupnya agak lama.
    “Kenapa? Dia syokkan engkau ke Hafis?”
    “Entahlah bang. Kesian pulak saya dengan dia.”
    “Kau ni takkan tak cukup satu. Leya dah ada. Kau cakap je dengan si Lihah tu yang aku pun syok kat dia.” Usik Salih sambil tergelak kecil.
    “Laaa... Abang sendirilah yang cakap dengan dia.”
    “Hafis.... Muka macam aku ni siapalah yang nak. Miskin, berniaga pun warung. Kau ingat si Lihah tu boleh terima aku ke? Kau ingat Lihah tu boleh jatuh cinta aku ke?” Salih merendah diri.
    “Tak dapat dengan mengurat, pakai bomohlah bang.” Usik Hafis. Tergelak kasar Salih bila mendengar kata-kata Hafis.
    “Kau gila ke? Bomoh tak mainlah. Biar cinta itu datang dari hati sendiri. Cinta itukan seni kurniaan Tuhan.” Sambut Salih.
    “Ewah!!! Pandai berfalsafah pulak abang ni.”
    “Apa kau ingat aku ni bebal sangat ke. Kau ingat aku tak tahu membaca ke?”
    “Tak kata pun macam itu bang.”
    “Hidup perlu ada vision, kata orang putih tu. Mesti ada ilmu, baru boleh maju.” Beriya-iya Salih berhujah mempertahankan maruah dirnya yang tak kurang juga pandai walaupun sekolah hanya setakat darjah enam.
    “Betul tu bang...Okeylah bang, saya nak balik dulu. Berapa harga kopi dan oren ni bang.” Malas Hafis nak melayan Salih. Fikirannya masih buntu dengan masalah yang tak pernah dia terfikir akan datang petang itu. Mengapalah Salihah boleh hadir dalam kedaan dia telah ada Leya. Kesian benar dia dengan Salihah. Dia sedar yang dia telah menghancurkan perasaan Salihah. Hafis takut kalau-kalau nanti Salihah gagal dalam peperikasaan kerana dia kecewa dan merana. Apa yang paling dia bimbang, kalau-kalau nanti Salihah berhenti sekolah serta merta kerana malu untuk bertentang muka dengannya.
    “Haaaa.....” Mengeluh panjang Hafis.
    “Ai!!! Macam tak biasa pulak? 2.00 ringgit je...Salih menjawab sambil mengaru-garu kepalanya.
    Hafis membayar, kemudian bangun berlalu meninggalkan Salih. Dia pulang ke rumah. Langkah Hafis diperhatikan oleh Salih. Bederum enjin motosikal Hafis meninggalkan warung Sallih. Salih menggeleng kepala berkali-kali.


PERISTIWA petang itu benar-benar menghantui tidur malam Hafis. Hafis tidak dapat melelapkan mata. Ingatannya pada Salihah dan Leya sentiasa menerjah masuk ke benaknya. Sekejap difikirkannya tentang Leya. Tidak banyak yang dia bimbangkan kerana dia cintakan Leya. Cuma dia bimbang kalau-kalau satu hari nanti Leya berubah hati. Itu saja yang dia fikir.Wajah Leya membayangi matanya. Sesekali wajah Salihah turut menjelma. Hafis menelentang berbaring dikatil. Sesekali pusing ke kiri, kekanan dan kadang-kadang dia meniarap. Fikir, fikir dan terus berfikir. Bercelaru otaknya.
    ‘Tapi bagaimanakah agaknya keadaan Salihah ketika ini di rumah?’ Itu yang sedang  Hafis fikirkan. Kasihan benar dia dengan Salihah. Namun apalah dayanya dia tidak boleh bermain api sehingga membakar diri...
     Perasaan hatinya tak ada pada Salihah. Sekalipun dipaksa, Cinta Hafis hanya ada pada Leya.
    ‘Ah! Semua ini dugaan. Mainan cinta remaja.’ Fikir keluh hati Hafis. Hafis hanya berharap agar Salihah tidak akan melakukan perbuatan terburu-buru dik kerana putus asa dalam percintaan.
    Hafis mahu Salihah masih bersekolah seperti biasa dan tetap bersahabat dengan Leya sekalipun mungkin Salihah malu dengan Hafis dan tidak bertegur dengan Hafis. Hafis tidak kisah jika Salihah tidak menegurnya lantaran kecewa dan rasa malu. Namun Hafis masih mahu bercakap dengan Salihah jika ada peluang. Tujuan Hafis, dia mahu Salihah masih menganggap dirinya seperti kawan biasa. Baginya sekalipun tidak ada kesampaian untuk bercinta, dia mahu persahabatan akan tetap setia. ‘Hati siapa yang tidak terluka apabila cintanya ditolak.’ Hafis faham bagaimana perasaan yang sedang dirasai oleh Salihah ketika ini. Hafis dapat merasakan bagaimana kalau dia ketika itu berada ditempat Salihah.
    “Hai! Entahlah... Macam mana aku nak buat sekarang ni?” Fikir otak beku Hafis.
    Malam semakin jauh menerjah kemuncaknya. Hanya tinggal beberapa jam saja lagi hari esok akan menjelang. Ketika jarum jam memcecah tepat pukul 12.00 malam, maka hari esok sudahpun bermula. Hafis mahukan biarlah hari esok ada sesuatu yang lebih baik dari hari ini.
    Ingatan Hafis mula diterjah masuk bayang-bayang Leya kekasihnya. Hafis tidak mungkin menghampakan Leya. Dia mahu jadi kekasih yang setia pada Leya. Terfikir juga dibenaknya, kalau-kalau peristiwa petang tadi diketahui oleh Leya. Ada kemungkinan Salihah bercakap tentang itu pada Leya. Namun, Hafis tidak perlu gentar atau bimbang Leya akan beranggapan salah padanya. Hafis tahu yang Leya tidak sebodoh itu mencurigai kesetiaannya sekalipun Salihah menggodanya.
    “Aku perlu berterus terang pada Leya  tentang perkara ini.” Hafis ada keputusan. Dia mahu Leya memahami perkara sebenar sebelum Salihah mendahuluinya bercerita pada Leya.
    Seketika Hafis tersenyum sendirian sekalipun matanya sudah mula layu, sudah mula menutup  seolah-olah tidak mahu lagi menyaksikan kegelapan yang samar-samar di ruang bilik tidurnya.
    Mulut Hafis sudah mula menguap. Sejak dari tadi boleh dikira sudah beberapa kali dia menguap. Namun fikirannya saja yang mencegah matanya dari terus terlena. Mengantuk? Memang dia mengantuk.
    “Ah! Sudahlah, untuk apa aku fikirkan soal remeh seperti ini.” Tiba-tiba saja benaknya memberi satu arahan.
    Beberapa kali dia tergolek ke kiri dan ke kanan di tilamnya, akhirnya dia berjaya juga menghindari kerumitan benakannya. Hafis sudah terlena.

SUASANA ruang bilik rumah Salihah masih terang. Sesekali kedengaran sayup-sayup lagu ‘Perpisahan Tanpa Alasan’ berkumandang dari pembesar suara radio yang tersedia vcd milik Salihah. Lagu itu berkali-kali diulang bunyinya. Salihah sengaja mahu lagu itu terus berbunyi. Mungkin dalam lagu itu ada mengandungi rangkap-rangkap kekecewaan hati Salihah kerana peristiwa petang tadi.Terguris benar hatinya bila cintanya ditolak dengan begitu mudah oleh Hafis tanpa pertimbangan. Dia tahu yang Hafis memang lelaki setia pada yang satu. Bukan Play Boy macam lelaki lain. Oleh kerana kesetiaan itulah membuatkan hati Salihah semakin memberontak untuk meneruskan impiannya mendapatkan Hafis sekalipun terpaksa merampas kekasih sahabatnya sendiri.
    “Biarlah...Hem! Leya... Tak sangka..” Sesekali seperti berbisik mulut Salihah sendirian. Dia sudah beberapa kali menghempaskan tubuhnya ke katil, namun dia masih belum dapat tidur. Resahnya semakin memuncak. Bangun, menghampiri  tingkap memandang keluar, melemparkan jauh penglihatannya dalam kesamaran malam yang sedikit diterangi oleh cahaya bulan.
    Seperti kucing hendak beranak lagaknya Salihah malam itu. Sejak dari pulang ke rumah sampailah jam 2.30 pagi dia terperap dalam biliknya. Tidak pula dia mandi dan bersolat. Sudah berkali-kali ibunya memanggil, mengajak makan malam, tapi tak langsung diendahnya. Sudah penat mulut ibunya memanggil, akhirnya dia hanya menjawab yang dia tak mahu makan.
    Salihah memang kecewa benar dengan keputusan Hafis yang menolak cintanya. Salihah masih boleh terima keputusan Hafis menolak perasaaan hatinya. Tetapi yang dia tidak boleh terima apabila Hafis adalah kekasih hati sahabatnya Leya. Dia tidak mampu menerima hakikat yang Leya telah memenangi hati Hafis. Malu benar dia pada Leya andainya rahsianya petang tadi terbongkar. Dia bimbang kalau-kalau Hafis ceritakan pada Leya. Malu.... Itulah yang dia bayangkan bila berhadapan dengan Leya setiap kali bertemu di sekolah.
    “Aku tak sanggup berhadapan dengan Leya.” Bisik hati kecil Salihah. Sesekali dalam samar malam itu dapat dilihat air matanya berlinangan. Sedih sangat dia apabila mengenangkan peristiwa petang tadi.
    “Kalaulah benar Leya dan Hafis pasangan kekasih...” Berserabut fikir otak Salihah ketika itu. Pada benaknya sudah pun berpendapat yang dia lebih rela bertukar sekolah daripada berhadapan dengan Leya dan Hafis jika benar Leya dan Hafis adalah pasangan kekasih. Salihah tidak sanggup berhadapan dengan Hafis lagi. Biarpun dia tidak dapat memenangi hati Hafis, sekalipun Hafis sudah ada buah hati, pada anggapannya biarlah buah hati Hafis itu bukannya Leya. Sudah tentu saban hari dia akan berhadapan dengan Hafis. Kalau kekasih Hafis pelajar sekolahnya yang dia tidak kenal, dia masih boleh mengelak daripada bertemu dengan Hafis. Kalau pun terserempak, dia masih boleh buat tidak kenal saja pada Hafis. Biarlah Hafis menganggapnya sombong, Salihah tetap tidak akan menengur Hafis atau menyambut teguran Hafis.
    Tapi... Bagaimana dia boleh mengelak dari bertentang mata dengan Hafis setiap kali dia bersama Leya, Hafis ada bersama. Mampukah dia menahan cemburu hatinya? Itulah yang sedang dia fikirkan.
    Salihah yang tadinya meniarap, tiba-tiba bangkit dan duduk menongkat dagu bersila beralaskan bantal pada pehanya. Terlintas pula dihatinya satu perkara yang perlu dia lakukan hari ini. Pada waktu itu tiba-tiba saja jam dinding yang tergantung berbunyi tiga kali. ‘Sudah pukul tiga pagi rupanya,’ bisik hati Salihah sambil memandang tepat pada jarum jam. Namun dia tidak dapat tidur.
    “Emm... Esok aku jumpa Leya, aku nak tanya tentang hubungan dia dengan Hafis.” Salihah bercakap sendirian, tidak kuat nada suaranya, namun kalau ada seorang lagi yang duduk bersamanya di dalam bilik itu, sudah tentu dapat mendengar apa yang Salihah perkatakan.
    “Tapi wajarkah aku bertanya? Bagimana aku hendak mulakan?” Salihah berkira-kira untuk sebelum membuat keputusan untuk bertanya perkara sebenar dengan Leya. Terangguk-angguk kepalanya sambil berfikir. Seketika kemudian dia menjatuhkan  dirinya ke tilam, menelentang. Matanya memandang ke siling rumah. Dia masih lagi berfikir.
    “Sudahlah Salihah... Tidurlah. Apa yang nak difikirkan lagi. Esok kau tanya aje dengan Leya.” Kebetulan pula otak kiri Salihah menasihati Salihah.         “Betul juga. Baik aku tidur. Esok aku tanyakan pada Leya. Peduli apa aku. Manalah tahu bukan Leya yang jadi pilihan Hafis. Manalah tahu kekasih Hafis pelajar lain yang dia tak kenal. Manalah tahu aku masih ada peluang sekali lagi jika ada kesempatan bertemu Hafis.” Serentak itu juga otak kanan Salihah menerima arahan otak kirinya.
    Mulut Salihah sudah mula menguap, matanya yang tadi tak langsung rasa mengantuk, sudah mengarah Salihah untuk tidur. Salihah menarik kain selimutnya, menyelubungkan separuh tubuhnya. Salihah sudah berkemampuan untuk tidur. Sedikit sedikit matanya terpejam dan mimpinya sudah mula bermain.

SEJAK petang semalam Leya tidak sedap hati. Difikirnya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada Hafis. Manakan tidaknya, selalunya jika Hafis pulang  dari sekolah selepas bersukan, Hafis akan singgah ke rumahnya.Tapi petang tadi tidak pula  kelihatan bayang Hafis. Resah juga hati Leya bila memikirkan perkara itu.
    “Hafis, mana kau sayang?” Bisik hati kecil Leya.
    Sejak jam 8.00 malam hinggalah jarum jam menunjukkan pukul 1.00 pagi, mata Leya tidak mengantuk. Sekalipun malam itu Leya bersembang dengan ibunya sambil menonton tv, namun perbualan dua beranak itu tidak serancak selalu. Leya banyak berdiam diri berkhayal.
    “Leya! Kau tak dengar ke apa yang mak tanya ni?” Sesekali pertanyaan ibunya tidak pula menerjah masuk ke telinga Leya. Otaknya jauh melayang memikirkan sesuatu yang tak pasti. Gusar, bimbang dan rindu pun ada pada Hafis ketika itu walaupun baru beberapa jam tidak bertentang mata.
    “Leya, kenapa dengan kau ni? Senyap aje?”
    “Tak ada apa-apalah mak.”
    “Lain macam saja perangai kau malam ni?”
    “Kan Leya kata tak ada apa-apa.”
    “Kau bergaduh dengan Hafis ke?”
    “Tak...”
    “Abis tu mak tengok kau termenung aje?”
    Leya senyum, kemudian dia bangun masuk ke biliknya. Di tinggalnya ibunya sendirian menonton tv.
    “Tulah budak-budak sekarang. Bukan nak jawap apa orang tua tanya.” Bebel Ibu Leya.


_________________________________



Free Francis Lai Orchestra Songs | Free ringtones at EZ-Tracks.com

No comments: